Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 Ahli Parlimen PN, TPM Fadillah Yusof adakan rundingan bagi peruntukan untuk pembangkang

Anggaran Waktu Membaca:
3 Ahli Parlimen PN, TPM Fadillah Yusof adakan rundingan bagi peruntukan untuk pembangkang

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. (Gambar: Bernama)

KOTA BHARU: Tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiga Ahli Parlimen tersebut ialah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin.

"Kami telah ada tiga wakil daripada pembangkang untuk mengadakan rundingan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat," katanya di sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada asnaf, pada Rabu malam (5 Apr).

Mengulas lanjut, Encik Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata PN turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak pernah menolak prinsip untuk memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

"Kami menyambut baik kenyataan beliau dan kami nak tengok bukti. Kami harap dapat disegerakan dan saya jangka rundingan itu sekali sahaja dah boleh selesai," katanya.

"Berkenaan kandungan rundingan termasuk syarat, jumlah peruntukan yang bakal diterima, saya tidak mempunyai perincian. Kita tengoklah nanti," katanya.

Sementara itu, Encik Tuan Ibrahim berkata rundingan pembahagian kerusi untuk PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berjalan lancar.

"Pengagihan kerusi dah berjalan di peringkat jawatankuasa rundingan, namun belum dibawa ke jawatankuasa induk untuk disahkan. Saya kira tidak ada banyak masalah dan berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ura-ura mantan Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa akan menyertai PAS, Encik Tuan Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai berita tersebut tetapi mengalu-alukannya sekiranya benar.

"Saya tak ada maklumat berita tersebut tetapi kalau ada, mungkin beliau berurusan terus dengan Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin).

"Kami dengar ura-ura dia nak bersama PAS dan kami mengalu-alukan penyertaannya, bukan sahaja beliau tetapi sesiapa sahaja daripada UMNO yang kena gantung atau dipecat," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan