Skip to main content

Dunia

3 aduan polis dibuat terhadap kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang

Tiga aduan polis dibuat pada Ahad (6 Sep) berhubung kenyataan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merangkap Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia pada 2014.

Anggaran Waktu Membaca:
3 aduan polis dibuat terhadap kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merangkap Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 07 Sep 2026 08:20AM
  • Tiga pemimpin PKR Bandar Tun Razak membuat aduan polis terhadap kenyataan Abdul Hadi Awang mengenai dakwaan campur tangan Amerika Syarikat pada 2014.
  • Kenyataan Abdul Hadi dibuat semasa Muktamar PAS ke-70, mendakwa pemimpin PAS pernah bertemu wakil Amerika Syarikat ketika lawatan Barack Obama.
  • Aduan bertujuan memastikan dakwaan percubaan menjatuhkan kerajaan disiasat mengikut undang-undang dan melindungi sistem demokrasi.
  • Polis Cheras mengesahkan menerima aduan dan akan merujuk laporan tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Tiga aduan polis dibuat pada Ahad (6 Sep) berhubung kenyataan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merangkap Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia pada 2014.

Aduan tersebut dibuat oleh Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak V. Jonathan, Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Tun Razak Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak Amarul Hisham Jalil di Balai Polis Cheras di Kuala Lumpur.

Encik Jonathan berkata aduan tersebut dibuat menyusuli kenyataan Encik Abdul Hadi ketika berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan pada Sabtu yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Beliau berkata Encik Abdul Hadi menyatakan beberapa pemimpin PAS pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Amerika Syarikat ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014, dengan pihak asing dikatakan menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.

“Antara yang dikatakan hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mustafa Ali bersama-sama Duta Amerika Syarikat ketika itu,” kata beliau kepada para wartawan selepas membuat aduan polis itu.

Encik Jonathan berkata pihaknya memandang serius terhadap perkara tersebut dan aduan berkenaan adalah bagi memastikan sebarang dakwaan berkaitan percubaan menggulingkan atau melemahkan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen melalui cara yang tidak berperlembagaan dapat disiasat mengikut lunas undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara tersebut pada kira-kira pukul 5.00 petang.

“Saya sedang menyemak jumlah laporan serta balai polis tempat laporan berkenaan dibuat.

“Laporan tersebut bagaimanapun akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita