Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3,000kg susu badan dihantar seberang tambak oleh kaum ibu M'sia di S'pura untuk bayi tersayang

Sudah sebulan Cik Christina Lye, 28 tahun, tidak melihat bayinya yang baru berusia tiga bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
3,000kg susu badan dihantar seberang tambak oleh kaum ibu M'sia di S'pura untuk bayi tersayang

Susu badan yang disimpan dalam peti sejuk oleh kaum ibu M'sia. (Gambar: Ihsan seorang ibu M'sia yang bekerja di S'pura)

Diterbitkan : 22 Apr 2020 08:22PM Dikemas Kini : 22 Apr 2020 08:28PM

KUALA LUMPUR: Sudah sebulan Cik Christina Lye, 28 tahun, tidak melihat bayinya yang baru berusia tiga bulan.

Jurusolek bersama suaminya itu menyewa sebuah bilik kecil di Singapura tetapi mereka juga menyewa rumah di Johor Bahru supaya ibu mertuanya dapat berpindah dari Sabah untuk menjaga bayi mereka.

Cik Lye tidak dapat pulang ke Johor Bahru selepas Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

PKP, yang awalnya dijadual dilaksanakan selama 14 hari, dilanjutkan sebanyak dua kali. Sementara itu, Singapura juga melaksanakan langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 sejak 7 April.

ANAK MUNTAH DIBERI SUSU FORMULA

Dengan sekatan perjalanan dikenakan kedua-dua negara, Cik Lye tidak lagi dapat ulang-alik setiap minggu. Beliau juga tidak dapat menghantar susu badan yang dibekukan kepada anaknya. Anak Cik Lye dilahirkan dengan jangkitan paru-paru dan perlu mengambil antibiotik.

"Keadaannya membuat saya risau. Untuk menguatkan sistem imun bayi saya, saya memutuskan untuk memberinya susu badan.

"Dengan semua sekatan perjalanan yang dilaksanakan, sukar bagi saya untuk menghantar pulang susu badan saya. Ibu mertua saya memaklumkan anak saya sering muntah apabila diberi susu formula. Saya benar-benar bimbang dan ingin menangis," kata Cik Lye kepada Mediacorp.

Beliau juga hanya dapat melepaskan rindu menerusi panggilan video buat masa ini. "Dia seolah-olah tidak kenal saya... Dia asyik menangis tetapi apa yang boleh kami buat?"

RAMAI SENASIB, CARI CARA BERI ANAK SUSU BADAN

Rupa-rupanya, nasib serupa juga dialami lebih 350 wanita Malaysia yang terpaksa meninggalkan anak mereka demi mencari nafkah di Singapura. Mereka berkongsi pengalaman mereka dalam satu kumpulan Facebook.

(Gambar: Ihsan seorang ibu M'sia yang bekerja di S'pura)

Ramai dalam kalangan mereka dicengkam rasa bimbang kerana stok susu badan yang disimpan dalam peti sejuk di rumah mereka di Malaysia, semakin merosot.

Sedang orang ramai menitikberatkan pemakanan dan kebersihan pada saat-saat seperti ini, kaum ibu tersebut hanya mampu berharap dapat memberikan bayi mereka susu badan - yang merupakan pilihan terbaik buat si kecil.

"Saya begitu sedih dan menangis setiap hari kerana saya begitu merindui anak lelaki saya," kata seorang lagi ibu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Tee.

Guru prasekolah itu perlu mengambil cuti ketidakhadiran ketika pulang dari Malaysia pada 14 Mac, sebagaimana ditetapkan oleh Pemerintah Singapura.

ADA SANGGUP BANTU TETAPI MAHAL

Cik Tee menyertai setiap kumpulan Facebook yang menyediakan khidmat logistik atau bawa penumpang, selain menghubungi mereka yang melakukan penghantaran barang ke seberang tambak, untuk membantu menghantar susu badan untuk bayinya yang berusia enam bulan di Selangor.

Ada yang mengenakan bayaran tinggi sementara ada juga yang enggan menghantar susu badan. Sebuah syarikat yang dihubungi pada awalnya setuju tetapi kemudian membatalkannya selepas Singapura dikatakan memperketat kawalan sempadan.

Semua itu mendorong Cik Tee, 29 tahun, untuk membuka kumpulan baru di laman Facebook bagi semua ibu yang beliau kenali, untuk sama-sama mencari idea dan bergabung tenaga.

TIADA PILIHAN KECUALI TERUS BEKERJA DI S'PURA

Apabila kedua-dua negara mengumumkan sekatan perjalanan demi mengawal pandemik, terlintas di fikiran Cik Tee untuk mengambil cuti kerja supaya dapat bersama anaknya di Selangor.

Namun, majikannya berkata, Cik Tee harus meletak jawatan jika beliau ingin mengambil cuti pada saat-saat akhir.

Dengan 'circuit breaker', guru-guru di prasekolahnya perlu bergilir-gilir hadir di premis untuk menjaga anak kakitangan yang menyediakan khidmat-khidmat penting. "Saya tidak boleh hilang pekerjaan ini, terutama sekali kerana ekonomi sekarang tidak begitu baik," katanya.

Meskipun sangat merindui bayinya, Cik Tee enggan berpeluk tubuh dan menantikan bantuan tiba. Menguruskan kumpulan Facebook dianggotai sekitar 350 wanita bergelar 'ibu' membakar semangatnya untuk mencapai matlamat mereka.

Ketika mereka sudah hampir ingin menyerah kalah, sebuah syarikat penghantaran barangan berpangkalan di Malaysia bersetuju untuk membantu mereka. Pada 29 Mac, 20 kotak susu badan beku dibawa dari Singapura ke Johor dengan upah S$10 sahaja. Dua hari kemudian, lagi 20 kotak di hantar ke negeri-negeri lebih jauh. Berat maksimum bagi setiap kotak adalah 20kg.

AHLI DEWAN DI JOHOR BANTU

Kaum ibu dalam kumpulan itu begitu gembira, menantikan giliran masing-masing. Nasib juga menyebelahi mereka kerana turut dibantu ahli dewan undangan negeri Stulang, Johor, Encik Andrew Chen Kah Eng.

(Gambar: Andrew Chen Kah Eng/Facebook)

(Gambar-gambar: Andrew Chen Kah Eng/Facebook)

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, begitu banyak susu badan yang dibekukan, dibawa melalui koswe dalam cara sebegitu, kata ahli politik Parti Tindakan Demokratik tersebut. Biasanya, kaum ibu hanya mengisi bagasi mereka dengan susu badan sebelum ke seberang tambak.

"Ia tugasan tidak mudah," katanya kepada Mediacorp, sambil menambah, beliau perlu menggunakan pengaruhnya dan mengerahkan relawan serta mereka dalam industri logistik untuk menjayakan usaha itu.

Pada 8 Apr, 30 kotak susu badan, seberat 600kg, tiba di pejabatnya dan segera dihantar kepada bayi ibu-ibu tersebut di Johor.

HANTAR SUSU BADAN KE BILIK SEJUK DI S'PURA

Bagi kiriman kedua, Encik Chen dan kenalan-kenalannya mengatur untuk menyediakan bilik sejuk di Singapura bagi ibu-ibu berkenaan menghantar susu badan yang dibekukan, tanpa mengabaikan langkah menjaga jarak selamat.

(Gambar: Andrew Chen Kah Eng/Facebook)

Dari situ, 118 kotak mengandungi 2,300 kilogram susu badan dihantar ke bilik sejuk di JB dengan menggunakan trak peti sejuk. Susu-susu itu dihantar kepada bayi di pelbagai negeri, sejauh Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Kos penghantaran yang dikenakan berharga antara RM30 (S$9.80) hingga RM200 (S$65), bergantung kepada lokasi penerima.

Syarikat-syarikat terlibat sudah menyerahkan dokumen kepada kastam Malaysia sebelum menjalankan misi ini, tambah Encik Chen.

"Ini bukan usaha saya sahaja kerana ramai yang terlibat. Ia sesuatu yang sukar untuk dijalankan," kata Encik Chen. Penghantar juga perlu mengejar masa kerana susu badan tidak boleh menjadi cair sepenuhnya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan