28 Mei penentu Erdogan atau Kilicdaroglu jadi Presiden baru Turki

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan ketua Parti Rakyat Republikan Kemal Kilicdaroglu (kanan). (Gambar: Ozan Kose/AFP)
ANKARA: Turki akan melaksanakan pilihan raya penentu pada Ahad (28 Mei) untuk memilih presiden selepas tiada calon yang memperoleh 50 peratus undi dalam pemilihan pusingan pertama 14 Mei lalu.
Undian bermula pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan Ahad dan berakhir pada pukul 5.00 petang.
Lebih 60 juta pengundi berdaftar layak mengundi, termasuk 4.9 juta pengundi kali pertama dan sebanyak 191,885 peti undi disediakan, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Majlis Pilihan Raya Turki, lebih 1.89 juta pengundi – sebanyak 1,895,430 sudah mengundi di kedutaan dan pintu pemeriksaan kastam setakat Khamis (25 Mei) pukul 10.00 pagi waktu tempatan.
Pengundian di misi diplomatik berakhir pada Rabu (24 Mei) manakala pengundian di pintu pemeriksaan kastam berakhir pada pukul 5.00 petang waktu tempatan Ahad.
Pada pilihan raya 14 Mei, seramai 1,839,470 rakyat Turki di luar negara keluar mengundi.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menyeru orang ramai keluar mengundi.
“Esok, mari kita pergi mengundi bersama-sama untuk Kejayaan Besar Turki. Mari kita realisasikan hasrat yang telah dizahirkan di Parlimen pada 14 Mei untuk presiden memperoleh mandat lebih kukuh kali ini,” kata Encik Erdogan di Twitter pada Sabtu (13 Mei).
Berjuta-juta pengundi keluar mengundi pada 14 Mei untuk memilih presiden negara itu dan 600 Anggota Parlimen.
Pada pilihan raya pusingan pertama Encik Erdogan mendahului dengan 49.52 peratus dan pada pusingan penentu beliau akan berdepan ketua pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP), Kemal Kilicdaroglu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.