Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

28 calon Perikatan Nasional PRN Melaka tandatangani ikrar perangi rasuah

Kesemua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani aku janji sebagai komitmen memerangi rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
28 calon Perikatan Nasional PRN Melaka tandatangani ikrar perangi rasuah

Muhyiddin hadir pada program Pentas Pilihan Raya Negeri Melaka di sebuah hotel di Shah Alam, 11 Nov, 2021. (Gambar: BERNAMA)

SHAH ALAM: Kesemua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani aku janji sebagai komitmen memerangi rasuah.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata ia selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

“Ini adalah jaminan PN dan jaminan yang sama untuk rakyat Melaka. Untuk menunjukkan kita komited perangi rasuah, kita telah sediakan aku janji dan calon perlu menandatangani aku janji ini dalam sehari dua.

Ini untuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan yang dibentuk selepas 20 Nov ini adalah Kerajaan PN Melaka dengan dasar yang diamalkan berteraskan kepada prinsip yang saya jelaskan tadi,” katanya pada Program Pentas PRN Melaka PN yang diadakan pada Khamis malam (11 Nov).

Program yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai turut disiarkan menerusi Facebook rasmi Encik Muhyiddin.

Encik Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata selain itu, manifesto PN bagi PRN berkenaan akan diumumkan dan diperincikan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Pagoh dalam pada itu berharap agar sedikit kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka diberikan dengan membenarkan calon untuk bertemu pengundi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata susulan SOP khas PRN yang ketat, beliau menggesa agar semua calon yang bertanding diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen bagi memperkenalkan diri masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan