Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

27 Timbalan Menteri M'sia angkat sumpah jawatan pada 10 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Seramai 27 timbalan menteri Malaysia mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur pada Sabtu (10 Dis).

Semua timbalan menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang bermula pada pukul 3.00 petang.

Dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, hadir bersama isteri masing-masing.

Hadir sama Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang.

Semua timbalan menteri di bawah Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah jawatan menyusuli pengumuman senarai timbalan perdana menteri oleh Encik Anwar pada Jumaat malam (9 Dis).
Semasa istiadat itu, timbalan-timbalan menteri dibahagikan kepada empat kumpulan dengan kumpulan pertama dimulai oleh dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Steven Sim Chee Keong.

Kumpulan itu turut terdiri daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang yang dilantik Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Ahli Parlimen Beaufort, Siti Aminah Aching dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Hasbi Habibollah selaku Timbalan Menteri Pengangkutan; Chan Foong Hin sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

Kumpulan kedua pula terdiri daripada tujuh timbalan menteri iaitu Pengarah Strategi PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Abdul Rahman Mohamad selaku Timbalan Menteri Kerja Raya.

Turut berada dalam kumpulan yang sama ialah Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Ahli Parlimen Lahad, Mohamad Yusof Apdal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup selaku Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Kumpulan ketiga pula diketuai Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) Aiman Athirah Sabu (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) diikuti bekas Ketua Wanita PKR, Senator Fuziah Salleh (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Selain itu adalah Ahli Parlimen Sarikei Huang Tiong Sii sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Naib Presiden PKR Senator K. Saraswathy (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Luar Negeri) dan Ahli Parlimen Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

Kumpulan terakhir terdiri daripada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital); Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying (Timbalan Menteri Pendidikan); Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud (Timbalan Menteri Sumber Manusia); Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumbong sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan