266 rakyat Palestin terkorban sejak perarakan pulang besar-besaran diadakan
Seramai 266 rakyat Palestin terkorban selepas hampir setahun perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Perarakan Pulang Besar-Besaran atau "Great March of Return" dianjurkan di Semenanjung Gaza dekat dengan sempadan Israel, lapor agensi berita Xinhua.
(Gambar: Mahmud Hams/AFP)
GAZA: Seramai 266 rakyat Palestin terkorban selepas hampir setahun perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Perarakan Pulang Besar-Besaran atau "Great March of Return" dianjurkan di Semenanjung Gaza dekat dengan sempadan Israel, lapor agensi berita Xinhua.
Mereka yang terkorban termasuk 50 kanak-kanak Palestin, enam wanita dan seorang lelaki warga tua, tiga paramedik dan dua wartawan, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.
Jumlah yang cedera pula mencecah seramai 30,398 orang, dengan 536 daripada mereka cedera parah.
Siri perhimpunan besar-besaran, yang berlangsung sejak 30 Mac lalu di Semenanjung Gaza, itu bertujuan untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka.
Penganjur perarakan itu berulang kali menggesa masyarakat antarabangsa supaya melaksanakan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesahkan hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah mereka, namun tiada sebarang perubahan yang berlaku.
Menurut Resolusi 194 PBB yang diterima pada Disember 1948, pelarian "yang ingin kembali ke rumah masing-masing dan tinggal dalam suasana aman bersama-sama jiran mereka hendaklah dibenarkan berbuat demikian pada tarikh paling awal yang dapat dilaksanakan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.