Skip to main content

Dunia

260,000 pakaian akan diagih kepada mangsa banjir, tanah runtuh Sumatra

Pemerintah Indonesia akan mengagihkan 260,000 helai pakaian eksport yang ditolak (export-reject clothing) ke tiga wilayah yang terjejas bencana alam di Sumatra mulai Isnin (22 Dis), lapor BH Online.
Anggaran Waktu Membaca:
260,000 pakaian akan diagih kepada mangsa banjir, tanah runtuh Sumatra
260,000 hekai pakaian eksport yang ditolak akan diagihkan kepada para mangsa bencana di Sumatra. (Gambar: Bernama)
JAKARTA: Pemerintah Indonesia akan mengagihkan 260,000 helai pakaian eksport yang ditolak (export-reject clothing) ke tiga wilayah yang terjejas bencana alam di Sumatra mulai Isnin (22 Dis), lapor BH Online.

"Dalam penghantaran pertama, kami akan menghantar 106,000 helai pakaian ke Aceh pada Isnin, diikuti penghantaran kedua sebanyak 100,000 helai ke Sumatra Utara, Sumatra Barat dan Aceh," kata Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian pada Jumaat (19 Nov) di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta.

Encik Karnavian berkata pengagihan itu mematuhi prosedur undang-undang selepas mendapat kelulusan Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa melalui Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Kewangan, khususnya Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais serta Kementerian Perdagangan kerana membolehkan proses perolehan dilaksanakan dengan pantas bagi tujuan tindak balas bencana," kata beliau seperti yang dilaporkan portal berita Antara.

Beliau berharap pakaian berkenaan dapat membantu para penduduk yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Sumatra pada akhir November menyusuli hujan lebat.

Pelan itu menyusuli cadangan Encik Karnavian semasa mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Presiden Prabowo Subianto pada 15 Disember untuk mengagihkan 125,000 helai pakaian tidak layak eksport kepada para mangsa bencana.

Menurutnya lagi, cadangan tersebut memohon permit khas daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan bagi membolehkan syarikat-syarikat melepaskan pakaian eksport yang ditolak untuk tujuan kemanusiaan semasa kecemasan.

Kata Encik Karnavian, dua syarikat pakaian utama yang beroperasi di zon ekonomi khas menyatakan kesediaan untuk membekalkan pakaian eksport yang ditolak dan sesuai kepada para penduduk dari kawasan-kawasan terjejas bencana, lapor BH Online.

Presiden Prabowo menyambut baik inisiatif itu dan meluluskan pengecualian cukai nilai tambah (VAT) bagi pakaian berkenaan.

"Anda boleh mengecualikan barangan itu daripada VAT, tetapi pastikan ia dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri dan dihantar segera ke kawasan terjejas," kata Encik Prabowo.

Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) melaporkan bahawa setakat 19 Disember, banjir dan tanah runtuh di tiga wilayah Sumatra mengorbankan 1,072 orang, manakala 186 orang lagi masih hilang sejak 25 November.

Bencana itu turut menyebabkan kerosakan pada sekitar 147,000 rumah, 145 jambatan dan 434 rumah ibadat di 52 daerah dan bandar.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita