26 maut, lebih 27,000 penduduk dipindahkan susuli hujan lebat di Kerala
Angka korban akibat kejadian berkaitan hujan lebat di Kerala, selatan India, meningkat kepada 26 orang, menurut pihak berkuasa pada Rabu (5 Ogos).
Dua orang meredah banjir sambil membawa barangan mereka di Sivasagar, Assam, India. (Gambar: REUTERS)
Ketua Menteri Kerala V D Satheesan berkata 11 orang turut cedera manakala empat lagi dilaporkan hilang.
Seramai 27,048 penduduk terpaksa berpindah akibat hujan lebat yang melanda wilayah itu.
Sebanyak 462 pusat perlindungan kini beroperasi di seluruh Kerala bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Encik Satheesan turut mengumumkan beberapa langkah bantuan bagi keluarga yang terjejas akibat hujan berterusan.
Ia termasuk meningkatkan pampasan bagi keluarga mangsa yang terkorban serta mereka yang kehilangan rumah dan harta benda.
LEBIH 23,000 PETANI TERJEJAS
Kerosakan tanaman turut melibatkan kawasan seluas 1,882 hektar, sekali gus menjejas 23,537 petani.
Jabatan Meteorologi India (IMD) mengeluarkan amaran warna jingga menyusuli hujan lebat pada Rabu (5 Ogos).
Menurut IMD, hujan lebat dijangka melanda Kerala, kawasan pesisir Karnataka dan Telangana antara 5 hingga 11 Ogos.
Beberapa kawasan di utara Kerala, termasuk kawasan tanah tinggi di Kozhikode dan Kannur, dilanda hujan lebat sejak 1 Ogos sehingga mencetuskan banjir dan tanah runtuh.
Air banjir masih belum surut di kebanyakan kawasan rendah, dengan banyak rumah masih ditenggelami air.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.