25,000 serpihan artifak abad ke-7 dan ke-8 Masihi ditemui di Jeddah

(Gambar: SPA)
JEDDAH: Sebanyak 25,000 serpihan artifak dari zaman khalifah Islam pada dua abad pertama dalam kalendar Hijrah, iaitu abad ke-7 dan ke-8 Masihi, ditemui di Kawasan Bersejarah Jeddah.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Program Daerah Bersejarah Jeddah (JHDP), dengan kerjasama dengan Suruhanjaya Warisan Saudi.
Penemuan arkeologi itu diumumkan sebagai sebahagian daripada Projek Pemulihan Bersejarah Jeddah, yang dimulakan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman, lapor Saudi Gazette.
Menurut kenyataan media JHDP, projek penggalian bermula pada Januari 2020, dengan kajian penerokaan dan tinjauan geofizikal.
Tujuannya adalah untuk mendedahkan kepentingan sejarah di empat lokasi, iaitu Masjid Othman bin Affan, Al-Shona, sebahagian Dinding Utara dan Al-Kidwah.
Menurut kenyataan tersebut, pada November 2020, tinjauan arkeologi dan penggalian menghasilkan penemuan sangat ketara. Ia termasuk 11,405 serpihan tembikar seberat 293 kilogram (kg), 11,360 tulang haiwan seberat 107kg, 1,730 cengkerang seberat 32kg, 685 bahan pembinaan seberat 87kg, 187 artifak gelas seberat 5kg dan 71 artifak logam seberat 7kg.
Menurut laporan Saudi Gazette, siasatan di Masjid Othman bin Affan mendedahkan artifak sejak dua abad pertama tahun Hijrah yang menjangkau zaman bersejarah yang berbeza.
Terutamanya, tiang gading ditemui berdekatan kawasan mihrab, yang dianalisis dan dikesan berasal dari Pulau Ceylon, atau Sri Lanka, di Lautan Hindi. Penemuan itu menunjukkan ketersambungan perdagangan yang luas di Jeddah.
Menurut kenyataan tersebut, penggalian di tapak yang sama menemui sejumlah bekas dan serpihan seramik, termasuk porselin bermutu tinggi.
Sebahagian daripadanya dibuat di wilayah Jiangxi, China, yang bertarikh pada abad ke-16 sehingga ke-19 Masihi. Manakala serpihan tembikar berasal dari zaman Abbasiyah.
Kajian arkeologi di empat kawasan bersejarah tersebut melibatkan penggalian, analisis radiokarbon, analisis tanah, tinjauan geofizikal dan pemeriksaan saintifik pada artifak.
Contoh kayu daripada 52 bangunan dihantar ke makmal antarabangsa untuk dikenal pasti serta mengesahkan tarikhnya.
Selain itu, penyelidikan arkib antarabangsa yang ketara mendorong kepada lebih daripada 984 dokumen bersejarah dikumpulkan, termasuk peta dan lukisan kawasan itu. Ia kini sedang dikaji.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.