250,000 jemaah dibenarkan tunai umrah dalam fasa kedua
Pihak berkuasa Saudi mengumumkan sehingga 250,000 jemaah warga Saudi dan rakyat asing yang tinggal di Saudi akan dibenarkan menjalankan ibadah umrah dalam fasa kedua pembukaan semula Masjidil Haram di Makkah mulai 18 Oktober ini. Demikian menurut laporan Saudi Gazette pada Isnin (12 Okt).

Jemaah haji terhad tawaf keliling Kaabah pada 31 Jul 2020 (Gambar: SPA/AFP)
RIYADH: Pihak berkuasa Saudi mengumumkan sehingga 250,000 jemaah warga Saudi dan rakyat asing yang tinggal di Saudi akan dibenarkan menjalankan ibadah umrah dalam fasa kedua pembukaan semula Masjidil Haram di Makkah mulai 18 Oktober ini. Demikian menurut laporan Saudi Gazette pada Isnin (12 Okt).
Pada tarikh yang sama, orang ramai yang berada di Saudi juga akan dibenarkan memasuki kawasan Rawdah dan kawasan masjid lama Masjid Nabawi.
Kawasan luar Masjidil Nabawi dan luar Rawdah sudahpun dibuka kepada orang ramai untuk semua solat berjemaah sejak 31 Mei lalu.
Anggota Jawatankuasa Kebangsaan bagi Haji dan Umrah, Hani Al-Omairi, memberitahu Saudi Gazette bahawa di bawah fasa kedua juga, lebih 600,000 jemaah akan diberikan permit untuk bersolat jemaah di Masjidil Haram.
Semua permit untuk umrah dan solat berjemaah itu akan diberikan kepada orang ramai yang membuat permohonan di aplikasi telefon bijak Eatmarna.
Hanya di bawah fasa ketiga mulai 1 November para jemaah dari luar Saudi akan dibenarkan menjalankan umrah.
Pihak berkuasa Saudi dijangka mengumumkan senarai negara asing yang akan dibenarkan menghantar jemaah umrah ke Saudi selepas fasa kedua pada 18 hari bulan ini.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Selasa (13 Okt) mengeluarkan amaran agar para pesakit kronik menangguhkan rancangan melakukan ibadah umrah kerana risiko kesihatan jika mereka dijangkiti COVID-19.
Ini termasuk mereka yang menghidapi penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung serta mereka yang pernah dirawat di hospital dalam masa enam bulan lalu.
Pihak berkuasa juga menasihatkan mereka yang pernah dirawat di hospital dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan wanita yang hamil supaya menangguhkan niat untuk menjalankan umrah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.