Skip to main content

Dunia

25 wilayah Amerika saman Pentadbiran Trump berhubung tarif global

Anggaran Waktu Membaca:
25 wilayah Amerika saman Pentadbiran Trump berhubung tarif global

Presiden Amerika Donald Trump bercakap kepada media di Pejabat Oval, Rumah Putih, di Washington pada Jumaat (24 Jul). (Gambar: AP/Rod Lamkey Jr.)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 01:48PM
NEW YORK: Gabungan 25 wilayah berstatus komanwel di Amerika Syarikat pada Isnin (3 Ogos) memfailkan saman di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat bagi menghalang usaha terbaharu Pentadbiran Presiden Donald Trump mengenakan tarif global secara menyeluruh antara 10 hingga 12.5 peratus

Saman itu mendakwa Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) menggunakan siasatan berkaitan buruh paksa di peringkat global sebagai alasan dan kesamaran undang-undang untuk mengenakan semula sekatan perdagangan yang sebelum ini dibatalkan oleh mahkamah persekutuan.

Plaintif berhujah bahawa USTR menjalankan siasatan secara tergesa-gesa terhadap 60 ekonomi dalam tempoh hanya dua bulan setengah, sedangkan proses itu lazimnya mengambil masa lebih setahun.

Wilayah-wilayah itu turut mendakwa pentadbiran berkenaan sudah menetapkan keputusan siasatan lebih awal, memandangkan tarif itu dikenakan secara sama rata terhadap bahan mentah dan barangan siap tanpa mengambil kira tahap penggunaan buruh paksa dalam pasaran tertentu.

“Tidak kira bagaimana pentadbiran cuba mewajarkannya, menurut undang-undang dan Perlembagaan kita jelas bahawa presiden tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif secara menyeluruh terhadap mana-mana negara yang dipilihnya,” kata Peguam Negara New York Letitia James dalam kenyataannya.

Wilayah-wilayah tersebut mendakwa cabang eksekutif cuba merampas kuasa percukaian Kongres secara tidak berperlembagaan, dengan menegaskan bahawa keseluruhan kuasa mengenakan cukai terletak pada Kongres.

Wilayah-wilayah itu turut mendakwa Pentadbiran Presiden Trump melanggar Akta Tatacara Pentadbiran.

Saman itu memohon mahkamah mengisytiharkan tarif berkenaan sebagai tidak sah dan membatalkannya.

Wilayah yang menyertai gabungan itu ialah Oregon, Arizona, California, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Kentucky, Maine, Maryland, Massachusetts, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, North Carolina, Pennsylvania, Rhode Island, Vermont, Virginia, Washington dan Wisconsin.

Rumah Putih menolak cabaran undang-undang itu dengan menegaskan bahawa Pentadbiran Presiden Trump bertindak dalam lingkungan kuasa yang diperuntukkan undang-undang.

“Amerika Syarikat menggunakan kuasa yang sah untuk menghapuskan tindakan, dasar dan amalan tidak munasabah yang membebankan perdagangan Amerika Syarikat,” kata jurucakap Rumah Putih Kush Desai dalam kenyataannya, menurut laporan CNBC.

Beliau berkata kegagalan negara asing menguatkuasakan piawai buruh secara langsung menjejaskan pekerja Amerika Syarikat dan perlu ditangani.

Encik Desai menegaskan bahawa tarif di bawah Seksyen 301 digunakan sebagai “instrumen yang kukuh dari segi undang-undang” sejak penggal pertama Encik Trump dan kekal sebagai salah satu mekanisme dasar perdagangan.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita