25 individu termasuk 'Datuk Seri' ditahan susuli pesta liar di Pahang

(Gambar: Polis Diraja Malaysia)
BENTONG: Seramai 25 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri dipercayai adalah penganjur pesta liar ditahan di sebuah banglo di Janda Baik, Bentong awal pagi Khamis (11 Ogos), lapor Astro AWANI.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 17 warga tempatan dan 8 warga asing.
"Pada 11 Ogos 2022, sekitar pukul 1.00 pagi, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah banglo yang disewa bertempat di kawasan Janda Baik, Bentong, Pahang.
"Dalam serbuan dan pemeriksaan tersebut, polis telah menjumpai dan merampas dadah dipercayai jenis ketamine seberat 2.18 gram dan pil Ecstacy seberat 1.43 gram dengan anggaran jumlah rampasan bernilai RM800 (S$248)," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Khamis (11 Ogos).
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun.
Ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 14 Ogos bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 (S$31,000) atau kedua-duanya sekali.
Manakala di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 (S$1,550).
"Saya memberi amaran keras bahawa tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di Daerah Bentong dan akan mengambil tindakan tegas," jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat sehingga kegiatan itu berjaya dihidu pihak berkuasa, lapor Astro AWANI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.