25% calon PRN Johor kali ini berusia 40 tahun ke bawah
Gambar: BERNAMA
JOHOR: Parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menampilkan lebih ramai calon muda.
Malah, 25 peratus daripada keseluruhan calon berusia bawah 40 tahun iaitu seganda lebih ramai berbanding tahun 2018.
Mentelah lagi, usia layak mengundi di Malaysia sudah diturunkan kepada 18 tahun buat pertama kali.
25% BAWAH 40 TAHUN; 8 BAWAH USIA 30 TAHUN
Barisan Nasional misalnya mempunyai calon paling muda iaitu Cik Kelly Chye yang berusia 26 tahun.
Cik Chye berharap dapat menjadi suara golongan belia di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor nanti.
"Disebabkan saya calon paling muda, ramai penduduk tidak kenal saya dan semasa pandemik pula tidak ramai yang keluar untuk berinteraksi. Jadi walaupun saya keluar berkempen, para pengundi ini mungkin tidak keluar rumah lalu saya tidak dapat bertemu mereka," kata beliau.
Cik Chye merupakan antara 60 calon dalam PRN Johor yang berusia 40 tahun dan ke bawah.
Jumlah itu lebih seganda daripada 25 calon muda dalam PRN Johor sebelum ini.
Selain beliau, calon Parti MUDA Amira Aisya pula adalah antara lapan calon berusia di bawah 30 tahun.
Bekas peguam berusia 27 tahun itu akan bertanding dalam DUN Puteri Wangsa yang menyaksikan persaingan enam penjuru.
Beliau percaya pemikiran terbuka dan dasar yang tidak memihak kepada mana-mana kaum boleh membawa kepada satu pembaharuan.
Beliau berkongsi: "Ahli politik perlu berkhidmat kepada rakyat dan saya tidak mahu menjadi seseorang yang berkata-kata dari sebalik tabir. Saya mahu memperjuangkan apa yang saya katakan dan jika saya mahu membuat perubahan, saya percaya saya perlu memasuki sistem untuk membuat perubahan itu. Itulah sebabnya saya menyertai politik."
Amira menambah beliau akan memperjuangkan isu-isu belia dengan mengusahakan peluang pekerjaan dan akses lebih baik kepada pendidikan bermutu.
LEBIH RAMAI ANAK MUDA MUNGKIN SERTAI DUNIA POLITIK
Zamil Pelawat Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Serina Rahman berpendapat perkara sedemikian mungkin membuka pintu kepada lebih ramai anak muda menyertai dunia politik.
"Rakyat mahukan orang-orang baru. Mereka mahukan idea-idea baru dan langkah seterusnya yang baru. Lantaran itu, parti-parti sudah tidak lagi memperjuangkan isu kaum dan agama yang mungkin lebih popular kerana ia bukan saja menarik perhatian golongan bukan Melayu tetapi juga segelintir masyarakat Melayu yang penat dengan isu kaum dijadikan permainan politik," ujar beliau.
Namun, Dr Serina berkata para calon muda perlu berusaha lebih seganda untuk diri mereka dikenali warga tua di Johor.
Ini kerana walaupun mereka membawa pembaharuan, kekurangan pengalaman dan rekod perkhidmatan mungkin menjadi satu keprihatinan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.