Skip to main content

Dunia

2.3 juta kenderaan dijangka lalui 3 lebuh raya utama M'sia sehari sempena Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik sehingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama, yang dijangka berlaku berperingkat bermula 19 April hingga 7 Mei sempena perayaan Aidilfitri.

LLM dalam kenyataan pada Rabu (19 Apr) memaklumkan jangkaan jumlah peningkatan trafik itu adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, LLM mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik.

Antaranya, mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menghentikan kerja-kerja binaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula Selasa (18 Apr) hingga 7 Mei ini.

Selain itu, mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi pengguna lebuh raya utama berkenaan untuk membantu mereka merancang perjalanan, serta memaparkan maklumat trafik dan peringatan menambah nilai Touch n’ Go atau e-Wallet sebelum memulakan perjalanan di papan tanda elektronik (VMS).

Kenyataan itu turut memaklumkan syarikat konsesi lebuh raya juga diminta menempatkan petugas di plaza tol bagi membantu pengguna memastikan kelancaran trafik semasa inisiatif tol percuma berkuat kuasa, di samping memastikan sistem dan operasi di plaza tol berjalan lancar selain penambahan lorong tol di kawasan dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.

“Penggunaan bahu jalan sebagai lorong tambahan di lokasi yang dikenal pasti di PLUS supaya aliran trafik lebih lancar terutamanya di kawasan 'hot spot' kesesakan dan kawasan mendaki dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut kenyataan itu.

LLM juga memaklumkan ia akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) secukupnya bagi menangani sebarang insiden, selain menyediakan kemudahan tambahan di tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat sepanjang PLUS serta Lebuhraya Pantai Timur 2.

LLM menyatakan bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma yang bermula hari ini hingga 21 April serta 24 April, kad Touch n’ Go atau SmartTAG perlu disentuh di plaza tol manakala pengguna Radio Frequency Identification (RFID) perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID.

Kenyataan itu memaklumkan Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi 24 jam bermula 19 hingga 26 April bagi menyalurkan maklumat terkini kepada pengguna lebuh raya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita