227 terbunuh sepanjang 12 bulan operasi Amerika banteras dadah
Seramai 227 orang terbunuh dalam 68 serangan Amerika Syarikat terhadap bot-bot yang disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah di Lautan Pasifik dan Caribbean sepanjang tempoh setahun, menurut tentera Amerika Syarikat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sebanyak 68 serangan dilancarkan di bawah Operasi Southern Spear yang kini genap setahun dilaksanakan. (Gambar: X/SOUTHCOM)
Sebanyak 68 serangan dilancarkan di bawah Operasi Southern Spear yang kini genap setahun dilaksanakan, kata jurucakap Markas Selatan Amerika Syarikat (SOUTHCOM) yang bertanggungjawab terhadap rantau berkenaan.
Seorang pegawai pemerintah Amerika Syarikat berkata tiga individu yang disyaki penyeludup dadah berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup.
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat melancarkan Operasi Southern Spear atas arahan Presiden Donald Trump dalam usaha membendung penyeludupan dadah di sepanjang benua Amerika.
Pegawai tersebut pada Selasa (1 Sep) berkata penyeludupan dadah di Caribbean merosot sehingga 65 peratus hasil operasi berkenaan. Bagaimanapun, angka tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.
Sejak operasi itu bermula, SOUTHCOM berulang kali mengumumkan kematian individu yang disyaki penyeludup dadah, selain kerap mengeluarkan rakaman serangan yang membawa maut.
Bagaimanapun, lokasi sebenar serangan dan asas perundangan yang digunakan sebahagian besarnya masih tidak jelas.
Para pengkritik turut mempersoalkan sama ada serangan yang dilancarkan di perairan antarabangsa dibenarkan menurut undang-undang antarabangsa.
Amerika Syarikat pada 2025 turut menggunakan usaha memerangi penyeludupan dadah sebagai alasan bagi menempatkan sejumlah besar aset ketenteraannya di luar pesisir Venezuela, meskipun negara tersebut dianggap sebagai laluan transit dan bukannya pusat pengeluaran, khususnya bagi dadah yang menuju ke pasaran Eropah.
Tidak lama selepas itu, pasukan Amerika Syarikat menawan pemimpin Venezuela yang telah lama berkuasa, Nicolas Maduro.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.