Skip to main content

Dunia

223 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia bantu polis urus kanak-kanak kes GISBH

Anggaran Waktu Membaca:
223 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia bantu polis urus kanak-kanak kes GISBH

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Sep 2024 08:15PM Dikemas Kini : 14 Sep 2024 08:21PM
KUCHING: Sejumlah 223 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkhidmat dalam membantu pihak polis menguruskan 402 kanak-kanak penghuni rumah perlindungan yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global Rabu lalu (11 Sep).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata ini merupakan kali pertama kementeriannya mengendalikan kes sedemikian di Malaysia.   

“Mereka (kanak-kanak) mungkin ada yang tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, sebab itu kita menggunakan kepakaran menjaga kanak-kanak untuk membantu PDRM menguruskan kanak-kanak kerana mereka (pegawai JKM) sudah terlatih untuk kendali anak-anak autisme, misalnya.

“Prosedur undang-undang masih sama (seperti kes lain) cuma setahu kami, kes seperti ini tidak pernah berlaku… kami tiada maklumat terperinci, jadi perlu beri ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Advokasi Kasih Kanak-Kanak di Kuching pada Sabtu (14 Sep).

Beliau berkata jumlah pegawai JKM adalah mencukupi dalam memberi pelbagai perkhidmatan termasuk kaunseling kepada kesemua kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan. 

Pada Jumaat (13 Sep), Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata saringan perubatan mendedahkan 13 daripada kanak-kanak yang diselamatkan disyaki telah diliwat selain 172 mempunyai kesan kecederaan fizikal lama serta membabitkan emosi.

Mengulas lanjut, Cik Nancy berkata pihaknya mengutamakan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak terlibat di bawah jagaan pegawai JKM yang mempunyai kuasa mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kita tidak akan menyatakan di mana lokasi sebenar kanak-kanak ini berada. Kita juga sudah dalam proses untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya hak jagaan diberikan kepada JKM,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan pada Sabtu, menteri berkenaan memberi jaminan bahawa kesemua kanak-kanak berada dalam perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya agar mereka tenang, selesa dan rasa selamat.

Cik Nancy berkata beliau tidak mengeluarkan kenyataan awal mengenai kes itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan atau operasi PDRM. 

“Apa yang boleh saya kongsikan ialah KPWKM melalui JKM telah terlibat dari awal dalam operasi ini. Kanak-kanak yang diselamatkan itu kini berada di tempat selamat, di bawah jagaan JKM dan pengawasan PDRM,” katanya.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita