Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2,200 penguat kuasa diarah pantau stesen minyak merata M'sia; cegah jual petrol RON95 kepada kenderaan asing

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Seramai 2,200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara Malaysia bagi memastikan pengusaha stesen minyak tidak menjual petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi petrol RON95 di seluruh negara, namun dibenarkan untuk mengisi minyak RON 97.

Beliau berkata terdapat laporan yang diterima daripada orang ramai dan media mengenai kenderaan dengan nombor pendaftaran asing mengisi minyak petrol RON95, khususnya di stesen minyak sempadan negara sejak Malaysia menerima kemasukan kenderaan asing menyusuli pembukaan pintu sempadan pada 1 April lalu.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat antara KPDNHEP dan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia baru-baru ini, dengan pihak persatuan telah menyatakan sokongan dan komitmen untuk memastikan stesen minyak di Malaysia mematuhi perundangan berkaitan larangan penjualan RON 95 di seluruh stesen minyak di Malaysia.

"KPDNHEP memberi amaran keras kepada orang ramai dan juga pengusaha stesen minyak bahawa kementerian tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (13 Apr). 

Menurutnya lagi, para pegawai penguat kuasa akan mengikuti pendekatan Ops Samar dengan tidak memakai pakaian seragam dan berbaju biasa dalam melaksanakan penguatkuasaan itu.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), pengusaha stesen minyak yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta (S$322,427), manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta (S$967,279) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat disabit kesalahan, ia boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta (S$644,853), manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta (S$1.6 juta). 

"Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya lagi.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan