Skip to main content

Dunia

22 bot laju musnah susuli kebakaran jeti Teluk Chalong, Phuket

Kebakaran tercetus dan merebak dengan pantas di sebuah jeti di Teluk Chalong, Phuket, pada Rabu (7 Jan), memusnahkan 22 bot laju yang dikendalikan oleh 13 syarikat.
Anggaran Waktu Membaca:
22 bot laju musnah susuli kebakaran jeti Teluk Chalong, Phuket
Kebakaran besar di jeti Teluk Chalong, Phuket, pada pagi 7 Januari 2026 memusnahkan sekurang-kurangnya 20 bot laju. (Gambar: TikTok/Thanakon)
Diterbitkan : 08 Jan 2026 07:09PM
PHUKET: Kebakaran tercetus dan merebak dengan pantas di sebuah jeti di Teluk Chalong, Phuket, pada Rabu (7 Jan), memusnahkan 22 bot laju yang dikendalikan oleh 13 syarikat.

Kebanyakan bot berkenaan sudah diisi penuh dengan bahan api menjelang lawatan yang dirancang ke pulau peranginan popular Thailand itu, dan kerosakan dianggarkan mencecah 38 juta baht (S$1.5 juta), kata para pegawai. Tiada kecederaan dilaporkan.

Namun, pengendali pelancongan menyifatkan keadaan itu sebagai serius, dengan beribu-ribu pelancong tidak dapat berlepas kerana baki bot tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan, lapor Agensi Berita Thailand.

Walaupun sebahagian syarikat berjaya mendapatkan bot gantian, banyak lawatan terpaksa dibatalkan, dengan pengendali menyifatkan kebakaran itu sebagai yang terbesar seumpamanya di kawasan tersebut.

Sebilangan saksi memberitahu bahawa mereka terdengar letupan dari sebuah bot laju sebelum angin kencang menyemarakkan api dan menyebabkan kebakaran merebak ke bot-bot berhampiran, lapor laman berita The Nation Thailand.

Polis dan anggota penyelamat dimaklumkan pada pukul 4.00 pagi dan anggota bomba dari empat majlis perbandaran dikerahkan untuk mengawal kebakaran itu, termasuk memotong tali tambatan bagi mengasingkan bot-bot berkenaan.

Paras air laut yang rendah pada peringkat awal menghadkan akses ke jeti, sekali gus melengahkan usaha memadamkan kebakaran.

Selepas kebakaran berjaya dikawal, Gabenor Nirat Pongsitthavorn mengarahkan bot-bot yang rosak dikeluarkan dan pemadam api busa (firefighting foam) digunakan untuk mengelakkan serpihan dan bahan api daripada mencemari laut, lapor Bangkok Post.

Gabenor itu turut memuji pasukan penyelamat kerana bertindak pantas dalam mengasingkan bot-bot yang terbakar, sambil berkata kebakaran itu berpotensi merebak kepada lebih 1,000 bot pelancong lain yang juga diisi penuh dengan bahan api di Teluk Chalong.

Polis dan pegawai forensik sudah ditugaskan untuk menyiasat kejadian tersebut, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di jeti dan kawasan sekitarnya bagi menentukan punca kebakaran.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita