Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

219 kes positif, 16 kelompok COVID-19 di M'sia babit jemaah umrah

Anggaran Waktu Membaca:
219 kes positif, 16 kelompok COVID-19 di M'sia babit jemaah umrah

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 kelompok COVID-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi dikesan bagi tempoh 25 Nov lepas hingga Selasa (11 Jan) dengan tujuh kelompok daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kelompok melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kelompok melibatkan kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron.

Beliau berkata punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tiada penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

"Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi.

"Situasi peningkatan kes daripada kelompok jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat," katanya dalam kenyataan media Selasa (11 Jan). 

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 456 individu dalam kelompok jemaah umrah itu sudah pun disaring dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

Sementara itu, beliau berkata kumulatif kes sembuh COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 2,720,399 kes selepas 2,977 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12.00 tengah hari Selasa (11 Jan), manakala kes baru pula sebanyak 3,175, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kini 2,792,035.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes baru varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan sejak 3 Januari lepas sehingga 10 Januari dengan 91 kes baru varian Delta dan lapan kes baru varian Omicron.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan