21 warga Bangladesh diseludup masuk Johor melalui SG dengan bayaran RM20,000
Polis Johor berjaya mematahkan sindiket penyeludupan pekerja hijrahan yang didalangi oleh warga tempatan dan rakyat Bangladesh.
(Gambar: CNA/Ahmad Zamzahuri Abas)
Ketua Polis Johor M Kumar mendedahkan kepada Harian Metro bahawa pendatang asing dari Bangladesh dalam sindiket tersebut, diseludup masuk ke Johor dari Singapura, dengan bayaran sekitar RM20,000 (S$6,120) setiap seorang.
Beliau menambah, pekerja hijrahan terbabit akan memasuki Johor secara haram melalui satu laluan 'terpencil' dari Singapura ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Mereka kemudian akan ditempatkan di sebuah rumah transit di Taman Daya. Polis Johor menjalankan serbuan terhadap rumah penampungan tersebut pada 9 September lalu.
Seramai 21 pendatang asing warga Bangladesh berusia 19 hingga 44 tahun kemudian diberkas.
Sebanyak 25 telefon bimbit, 22 pasport milik warga Bangladesh dan wang bernilai RM1,200 (S$370) turut dirampas.
"Serbuan dijalankan hasil risikan polis berkaitan aktiviti penyeludupan pendatang asing di sekitar Tambak Johor yang aktif sejak Ogos lalu," kata Encik M Kumar dalam satu kenyataan pada Khamis (3 Okt), seperti dinukil Harian Metro.
"Rumah transit itu menempatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) sebelum dibawa ke destinasi tertentu.
"Pada serbuan itu, turut ditahan ialah seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing yang berperanan sebagai pengurus atau transporter selain penjaga rumah transit terbabit," tambah beliau.
Siasatan awal turut mendapati setiap pendatang asing itu diurus oleh ejen di Bangladesh dengan bayaran RM20,000 (S$6,120) sebelum mereka melakukan persinggahan di Lapangan Terbang Changi.
Pendatang asing itu kemudian akan dijemput oleh seorang 'transporter' atau penghantar, setibanya di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru lalu dibawa ke sebuah rumah penampungan.
Empat 'transporter' atau penjaga rumah penampungan berkenaan telah didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Kesemua 21 pendatang asing yang diberkas juga telah didakwa pada 23 September lalu di Mahkamah Majistret Johor Baharu.
Kes mereka akan dibicarakan semula pada 13 Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.