Skip to main content

Dunia

21 maut, 61 cedera susuli letupan kilang mercun China

Anggaran Waktu Membaca:
  21 maut, 61 cedera susuli letupan kilang mercun China

Anggota bomba memadamkan kebakaran susuli letupan di sebuah kilang mercun di Liuyang, wilayah Hunan, China. (Gambar: cnsphoto via Reuters)

Diterbitkan : 05 May 2026 12:07PM Dikemas Kini : 05 May 2026 12:31PM
BEIJING: Satu letupan dahsyat di sebuah kilang mercun di bahagian tengah China meragut nyawa 21 orang dan menyebabkan lagi 61 yang lain cedera.

Demikian menurut media rasmi China pada Selasa (5 Mei).

Letupan itu berlaku sekitar pukul 4.43 (waktu tempatan) pada Isnin (4 Mei) di Liuyang Huasheng Fireworks Manufacturing and Display Company di Liuyang, wilayah Hunan, menurut stesen televisyen CCTV.

Rakaman video di platform internet China menunjukkan asap tebal berkepul-kepul dari sebuah tapak besar dengan bangunan yang runtuh serta serpihan bertaburan di serata tempat kejadian. Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan video tersebut.

Menurut laporan South China Morning Post, hampir 500 anggota bomba, pasukan penyelamat, dan kakitangan perubatan telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa Presiden Xi Jinping mengarahkan siasatan segera dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan, sambil menuntut kebertanggungjawaban atas insiden itu.

Tahun lalu, China mengeksport mercun bernilai AS$1.14 bilion (S$1.46 bilion), iaitu lebih dua pertiga daripada penjualan global.

Laporan stesen penyiaran pemerintah, CCTV, menyatakan para mangsa dibawa ke Hospital Rakyat Liuyang untuk mendapatkan rawatan, dengan mangsa tertua berusia 68 tahun. Kebanyakan mangsa yang cedera mengalami kecederaan tulang.

Seorang pekerja berusia 28 tahun memberitahu CCTV bahawa beliau sedang bekerja di salah sebuah bangunan kilang tersebut ketika letupan berlaku dan mengalami kecederaan pada kaki kirinya.

Beliau sudah menerima rawatan dan keadaannya kini stabil. CCTV juga menemu bual seorang lagi pekerja wanita yang mengalami kecederaan di kaki, bahagian tulang pinggul, dan wajahnya.

Para penduduk kampung menceritakan bahawa mereka terpaksa menggunakan jalan jauh selepas batu dan serpihan lain bertaburan di atas jalan raya akibat letupan itu.

"Tingkap di rumah berkecai sepenuhnya," kata seorang penduduk kampung kepada Beijing News.

"Bingkai tingkap aluminium bengkok, malah pintu keluli tahan karat juga remuk sehingga berubah bentuk."

Seorang lagi penduduk berkata beliau terpaksa membawa cucunya melarikan diri dari kampung kerana ketakutan semasa berlaku letupan.

Satu kempen nasional selama setahun telah dilancarkan pada 1 Mei untuk memantau industri bunga api dan mercun - termasuk mengenakan had yang lebih ketat terhadap keselamatan, bunyi, serta kandungan kimia dan bahan ledakan.

Encik Xi turut mengarahkan pihak berkuasa untuk memperkukuh pemeriksaan risiko dalam industri tersebut bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat terjamin.

Encik Xi sering mengeluarkan "arahan penting" kepada pegawai tempatan selepas berlaku kemalangan besar atau bencana yang menyebabkan kematian. Minggu lalu, beliau menggesa peningkatan kapasiti tindak balas bencana di seluruh negara.

Encik Xi juga pernah mengeluarkan arahan selepas kebakaran besar di sebuah kompleks perumahan di Hong Kong pada November lalu yang mengorbankan 168 orang.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita