21 cedera selepas feri Pulau Pinang bertembung kapal
Feri Pulau Pinang dilaporkan mengalami kecederaan selepas feri berkenaan berlanggar dengan sebuah kapal di perairan berhampiran terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH). (Gambar ihsan bomba)
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Yeoh Soon Hin berkata pihaknya mengesahkan insiden perlanggaran melibatkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya berlaku dalam had Pelabuhan Pulau Pinang pada pukul 8.40 malam.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya dilaporkan sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
“Insiden perlanggaran kemudian berlaku melibatkan kapal berkenaan dan feri yang sedang dalam perjalanan ke PSAH. Setakat maklumat awal yang diterima, seramai 21 penumpang dilaporkan cedera.
“Semua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan tiada lagi mangsa berada di PSAH. Operasi perkhidmatan feri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas menyusuli insiden itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa malam.
Encik Yeoh berkata SPPP bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan yang diperlukan dapat dilaksanakan berkaitan penumpang yang terlibat serta keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan sentiasa terjamin.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.58 malam sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikerah ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah feri penumpang, Feri Teluk Bahang dan sebuah kapal. Terdapat 92 mangsa termasuk penumpang yang terlibat dalam insiden itu. Berdasarkan maklumat awal, enam mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke hospital,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.