Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

207 sampel sosej dijual di M'sia diuji, kesemuanya patuh tahap nitrit ditetapkan

Kesemua 207 sampel produk hasilan daging termasuk sosej yang diambil daripada pasaran tempatan Malaysia dan pintu masuk untuk dianalisis tahap kandungan nitrit, didapati mematuhi tahap yang ditetapkan.

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Kesemua 207 sampel produk hasilan daging termasuk sosej yang diambil daripada pasaran tempatan Malaysia dan pintu masuk untuk dianalisis tahap kandungan nitrit, didapati mematuhi tahap yang ditetapkan.

Demikian menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan (KKM) pada Khamis (17 Mac).

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata sampel berkenaan diambil untuk dianalisis setelah KKM mengambil maklum laporan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand mengenai produk sosej yang diuji mengandungi nitrit melebihi paras dibenarkan oleh agensi berkenaan.

Menurutnya, FDA Thailand melakukan ujian tersebut selepas 14 kanak-kanak di negara itu mengalami methemoglobinemia iaitu sejenis penyakit gangguan darah selepas makan sosej tersebut.

Di Malaysia, produk hasilan daging seperti sosej boleh mengandungi nitrit pada paras tidak melebihi 80mg/kg selaras dengan standard antarabangsa Codex.

"Hasil analisis yang telah dijalankan, kesemua sampel sosej didapati mematuhi tahap yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini, serta menambah BKKM sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan Thailand berkenaan produk sosej yang terlibat.

Nitrit merupakan bahan pengawet makanan yang sering digunakan dalam produk hasilan daging bagi merencatkan pertumbuhan bakteria di samping menyerlahkan warna makanan.

Pengambilan nitrit pada kadar yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu cepat merasa letih dan penat, sukar bernafas, pening dan sakit kepala, berdebar-debar dan kelihatan pucat.

Encik Mohd Salim berkata KKM akan meneruskan pemantauan keselamatan makanan di pasaran tempatan dan pintu masuk negara agar mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan