Skip to main content

Dunia

2017: Tahun kejatuhan khilafah ISIS

ISIS tumpas di dua kubu kuatnya, Mosul di Iraq dan Raqa di Syria, awal tahun ini dan sekarang hanya mampu cuba mempertahankan saki-baki "khilafah" yang tiga tahun dahulu sebesar Britain.

Anggaran Waktu Membaca:
2017: Tahun kejatuhan khilafah ISIS

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Diterbitkan : 19 Dec 2017 11:08PM Dikemas Kini : 19 Dec 2017 11:10PM

BEIRUT: Tahun 2017 akan berakhir lebih seminggu lagi dan tahun 2017 akan diingat sebagai tahun di mana 'negara' ISIS dihancurkan, setelah 'eksperimen' wilayah 'berkhalifah' di sebahagian Iraq dan Syria itu dipatahkan.

Sekalipun begitu, Iraq dan Syria kini terpaksa berdepan bandar-bandar yang hancur musnah dan cabaran berat untuk membangunkan kembali negara itu.

ISIS tumpas di dua kubu kuatnya, Mosul di Iraq dan Raqa di Syria, awal tahun ini dan sekarang hanya mampu cuba mempertahankan saki-baki "khilafah" yang tiga tahun dahulu sebesar Britain.

Khilafah itu terus-menerus mengecil sepanjang tahun ini, dengan Iraq dan sekutunya yang dipimpin Amerika Syarikat, serta Syria yang disokong Rusia melancarkan serangan udara bertubi-tubi demi merampas kembali wilayah tersebut.

Bulan ini, Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi mengumumkan bahawa buat pertama kali dalam tempoh empat tahun ISIS tidak mengawal mana-mana wilayah penting di negara itu.

Di Syria bagaimanapun, masih ada beberapa tindakan yang perlu diambil, namun ISIS kini hanya menguasai beberapa tempat terpencil di sana sini.

Di Iraq, Amerika memberikan sokongan kuat kepada PM Abadi, yang dengan bersungguh-sungguh dan berani menentang ISIS demi mempertahankan jawatannya dan meraih kewibawaan dalam negeri sedang beliau menerajui negaranya dalam perang selama tiga tahun itu.

Serangan balas yang menelan kos tinggi itu merupakan peluang untuk membangunkan semula tentera, yang kekalahannya di Mosul memainkan peranan besar khilafah ISIS dapat berkembang dengan begitu pesat pada tahun 2014.

Sejak itu, perikatan yang dipimpin Amerika Syarikat itu sudah melatih 125,000 anggota pasukan keselamatannya.

Unit elit antipengganasan itu, yang menerajui peperangan menentang ISIS boleh disifatkan sebagai pasukan tentera paling berpengalaman di dunia.

BANDAR-BANDAR MUSNAH

"Dari sudut pandangan tentera, ISIS sudah dipatahkan tetapi bukan sebagai sebuah pertubuhan pengganasan. Kita mesti terus berjaga-jaga," kata seorang jurucakap Hashed al-Shaabi - pertubuhan separa tentera yang memainkan peranan besar dalam perang itu.

Status Hashed, yang dikuasai kumpulan-kumpulan millitia Syiah yang kesetiaannya lebih kepada Tehran berbanding Baghdad, akan menjadi salah satu cabaran paling besar bagi Iraq pada bulan-bulan mendatang.

Negara itu juga perlu menyuntik kembali kehidupan di bandar-bandar Sunni yang sudah binasa. Ini termasuk bandar kedua terbesar Iraq iaitu Mosul, selain bandar-bandar Baiji, Ramadi, Sinjar dan Fallujah.

Jika gagal melakukannya dengan segera, para pemerhati berkata, ia akan memberi peluang kepada baki anggota ISIS - atau kumpulan baru sepertinya - untuk muncul dari celah-celah padang pasir tempat persembunyian mereka sekarang, untuk menangguk di air keruh seperti pertikaian kaum yang mungkin muncul.

Bandar-bandar Syria seperti Aleppo, Raqa, Homs dan lain-lain juga memerlukan banyak kerja-kerja pembinaan semula.

Berbanding PM Abadi, Presiden Syria Bashar al-Assad kurang diterima masyarakat antarabangsa. Encik Abadi mempunyai hubungan baik dengan negara-negara Barat serta Iran dan negara-negara jiran yang lain.

Tahun ini, keadaan kembali tenang di Damsyik dan beberapa daerah lain di negara itu, di mana pertempuran berakhir sekitar dua atau tiga tahun lalu.

Meskipun ISIS sudah tewas di Syria, peperangan di sana masih belum berakhir dan sebuah operasi besar-besaran menentang pasukan-pasukan anti-Assad masih dijalankan.

Beberapa "zon pencegahan" di merata Syria mempunyai hasil bercampur-campur. Malah beberapa rundingan yang diadakan di peringkat antarabangsa untuk meleraikan konflik itu, yang sudah mengorbankan sekitar 350,000 orang dalam tempoh kurang tujuh tahun, juga masih belum membuahkan hasil. 

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita