200 maut di Thailand akibat nahas jalan raya sepanjang minggu Songkran
Dua ratus orang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Thailand sepanjang "minggu berbahaya" sempena sambutan Tahun Baharu tradisional Thailand, Songkran, yang berlangsung dari 11 hingga 16 April, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu, pada Khamis (17 Apr).
Minggu perayaan Songkran merupakan antara minggu yang lazimnya mencatat kadar kemalangan yang tinggi di Thailand. (Gambar hiasan: Pixabay/viarami)
“Seramai 200 orang kehilangan nyawa dalam kemalangan jalan raya sepanjang perayaan Songkran dari 11 hingga 16 April.
"Sebanyak 1,377 kemalangan dilaporkan dalam tempoh tersebut, mengorbankan 200 orang dan mencederakan 1,362 yang lain,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Kachorn Srichavanothai, dalam satu sidang media.
Menurut beliau, jumlah kematian tahun ini jauh lebih rendah berbanding tahun lalu, yang mencatatkan 1,811 kemalangan jalan raya dengan 243 kematian dan 1,837 kecederaan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, kemalangan motosikal menyumbang sebahagian besar kes, iaitu sebanyak 83.32 peratus.
Punca utama kemalangan adalah memandu dalam keadaan mabuk dan memandu laju, katanya.
Thailand mempunyai dua "minggu berbahaya" setiap tahun – minggu Tahun Baharu Antarabangsa dan minggu Songkran, cuti tahunan tradisional bagi penganut Buddha Theravada – yang menyaksikan kebanyakan kemalangan berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.