Skip to main content

Dunia

200,000 pelarian Rohingya himpun di kem Bangladesh, peringati Hari Genosid

Kira-kira 200,000 etnik Muslim Rohingya berhimpun di kem pelarian Bangladesh pada Ahad (25 Ogo) bagi menandakan tempoh dua tahun sejak mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar.

Anggaran Waktu Membaca:
200,000 pelarian Rohingya himpun di kem Bangladesh, peringati Hari Genosid

Sekitar 200,000 pelarian Rohingay menyertai perhimpunan aman pada 25 Ogos 2019. (Gambar: MUNIR UZ ZAMAN/AFP)

Diterbitkan : 25 Aug 2019 06:02PM Dikemas Kini : 25 Aug 2019 06:05PM

KUTUPALONG: Kira-kira 200,000 etnik Muslim Rohingya berhimpun di kem pelarian Bangladesh pada Ahad (25 Ogo) bagi menandakan tempoh dua tahun sejak mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar.

Perhimpunan tersebut diadakan selang beberapa hari selepas percubaan kedua untuk membawa pulang para pelarian itu menemui kegagalan.

Sekitar 740,000 Muslim Rohingya dari Rakhine, Myanmar, melarikan diri pada Ogos 2017 lalu semasa tempoh tindakan kejam itu, menyertai lagi 200,000 pelarian yang sudah lebih awal melarikan diri daripada penganiayaan tersebut.

Hampir sejuta pelarian kini berteduh di lebih 30 kem kosong dekat daerah sempadan tenggara Cox's Bazaar, Bangladesh.

Pada Ahad, kanak-kanak, wanita memakai tudung dan lelaki berkain pelikat melaungkan ‘Allah Maha Besar, Selamatkan Rohingya’ semasa mereka berarak di tengah-tengah kem pelarian terbesar di dunia bagi memperingati apa yang disebut mereka sebagai ‘Hari Penghapusan kaum’.

Di bawah panas terik mentari, ribuan pelarian menyanyi lagu popular dengan bait lirik ‘dunia tidak mendengar rintihan Rohingya’.

“Saya datang ke sini untuk menuntut keadilan ke atas pembunuhan dua orang anak saya. Saya tidak akan berhenti menuntut keadilan sehingga hembusan nafas terakhir saya,” kata Tayaba Katun, 50 tahun, sambil air mata membasahi pipinya.

Myanmar menyatakan ia menjalankan operasi menentang pemberontakan terhadap para pelampau Rohingya selepas mereka menyerang pondok polis namun tahun lepas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru agar jeneral-jeneral tertinggi Myanmar didakwa atas pembunuhan beramai-ramai dalam krisis tersebut.

Pemimpin Rohingya, Mohib Ullah, berkata kaum minoriti yang tidak memiliki kerakyatan itu ingin pulang ke kampung halaman tetapi hanya selepas mereka diberi kerakyatan dan keselamatan mereka dapat dijamin selain dibenarkan untuk menetap di kampung mereka.

Sementara itu, pegawai polis Zakir Hassan melaporkan kira-kira 200,000 kaum Rohingya mengambil bahagian dalam perhimpunan aman tersebut. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita