Skip to main content

Dunia

20 wilayah Amerika ambil tindakan undang-undang terhadap Trump atas kebocoran data Medicaid

California mengetuai gabungan beberapa wilayah yang memfailkan saman pada Selasa (2 Jul) terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung kebocoran maklumat peribadi rakyat negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
20 wilayah Amerika ambil tindakan undang-undang terhadap Trump atas kebocoran data Medicaid

President Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: TASOS KATOPODIS / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 03 Jul 2025 08:52AM Dikemas Kini : 03 Jul 2025 08:58AM
  • Pentadbiran Presiden Trump dipercayai secara haram berkongsi data kesihatan penerima bantuan Medicaid dengan agensi penguatkuasaan imigresen.
  • Plaintif mencabar tindakan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Amerika (HHS) yang memberikan "akses tanpa had" kepada rekod kesihatan individu kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang menaungi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), dengan alasan keputusan itu melanggar undang-undang privasi dan amalan lama yang memisahkan maklumat Medicaid daripada pihak penguatkuasaan.
  • "Pentadbiran Trump mencabuli perlindungan privasi yang telah lama wujud dengan keputusan untuk secara haram berkongsi data kesihatan peribadi yang sensitif dengan ICE.
  • Dokumen itu turut menyatakan pemerintah persekutuan Amerika dilaporkan bercadang untuk mewujudkan pangkalan data besar-besaran selepas mengumpul data daripada HHS bagi digunakan untuk "pengusiran besar-besaran" dan tindakan penguatkuasaan imigresen berskala besar yang lain.
Dijana oleh AI
LOS ANGELES: California mengetuai gabungan beberapa wilayah yang memfailkan saman pada Selasa (2 Jul) terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung kebocoran maklumat peribadi rakyat negara itu.

Pentadbiran Presiden Trump dipercayai secara haram berkongsi data kesihatan penerima bantuan Medicaid dengan agensi penguatkuasaan imigresen.

Saman setebal 59 muka surat itu difailkan di Mahkamah Daerah Utara California, dengan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Robert F. Kennedy Jr, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem dan jabatan mereka dinamakan sebagai defendan.

Peguam Negara California Rob Bonta, mengetuai peguam negara dari 19 wilayah lain iaitu: Arizona, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Massachusetts, Maine, Maryland, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, Oregon, Rhode Island, Vermont dan Washington dalam memfailkan tindakan undang-undang itu.

Plaintif mencabar tindakan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Amerika (HHS) yang memberikan "akses tanpa had" kepada rekod kesihatan individu kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang menaungi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), dengan alasan keputusan itu melanggar undang-undang privasi dan amalan lama yang memisahkan maklumat Medicaid daripada pihak penguatkuasaan.

Mereka menegaskan bahawa tindakan haram pentadbiran Presiden Trump mencetuskan ketakutan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, yang boleh menyebabkan bukan warga Amerika dan ahli keluarga mereka menarik diri atau enggan mendaftar untuk Medicaid kecemasan.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan kesihatan penting dan membawa kepada kesan akibat kesihatan yang boleh membawa maut.

"Pentadbiran Trump mencabuli perlindungan privasi yang telah lama wujud dengan keputusan untuk secara haram berkongsi data kesihatan peribadi yang sensitif dengan ICE. Tindakan ini mewujudkan suasana ketakutan yang akan menghalang orang ramai daripada mendapatkan rawatan perubatan kecemasan yang penting," kata Encik Bonta dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabatnya, sambil menegaskan bahawa saman itu bertujuan bagi memastikan data Medicaid tidak digunakan untuk tujuan penguatkuasaan imigresen.

"Saya kecewa dengan serangan terbaharu Presiden dalam kempen antipendatang asing ini. Kami membawa isu ini ke mahkamah untuk menghalang perkongsian data Medicaid yang lebih luas pada masa akan datang," katanya.

Menurut Jabatan Kehakiman California, Medicaid adalah sumber insurans kesihatan penting untuk individu berpendapatan rendah dan golongan kurang mendapat layanan perkhidmatan.

Sehingga Januari 2025, seramai 78.4 juta orang mendaftar dalam program Medicaid dan Program Insurans Kesihatan Kanak-Kanak di seluruh Amerika.

Program Medicaid membenarkan setiap wilayah membangunkan dan mentadbir pelan kesihatan masing-masing.

Di California iaitu wilayah paling padat di Amerika, program Medi-Cal, versi Medicaid wilayah itu, menyediakan perlindungan kesihatan untuk seorang daripada tiga penduduk, termasuk lebih 2 juta bukan warga tempatan.

Menurut dokumen saman, Akta Medicaid yang diluluskan oleh Kongres pada 1965 serta undang-undang persekutuan lain mentakrifkan data kesihatan peribadi yang dikumpul melalui program itu sebagai sulit dan hanya boleh dikongsi dalam keadaan tertentu demi kesihatan awam atau integriti program Medicaid.

Pemindahan data besar-besaran antara HHS dan DHS menyalahi undang-undang.

Dokumen itu turut menyatakan pemerintah persekutuan Amerika dilaporkan bercadang untuk mewujudkan pangkalan data besar-besaran selepas mengumpul data daripada HHS bagi digunakan untuk "pengusiran besar-besaran" dan tindakan penguatkuasaan imigresen berskala besar yang lain.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita