20 tahun tinggal dalam kereta, pesara tentera M'sia terharu dapat rumah baru
Gambar: Bernama
KUALA LUMPUR: "Terima kasih Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas keprihatinan (anda). Rumah yang dapat ini cukup selesa, lengkap dengan alat kelengkapan rumah seperti orang yang sudah berkeluarga," luah bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Redzuan Abdullah, 60 tahun.
Beliau yang sudah tinggal di dalam kereta sejak 20 tahun lalu mendapat perhatian pemimpin nombor satu Malaysia baru-baru ini.
Mohd Redzuan meluahkan rasa syukurnya itu kepada pemberita pada Selasa (7 Jun) selepas menerima kunjungan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Shahidan Kassim, yang menyerahkan surat tawaran penyewaan sebuah unit Perumahan Awam Seri Johor 4C, Cheras.
Mohd Redzuan, atau mesra dipanggil Pak Wan, berkata beliau tidak ingin menyalahkan sesiapa mengenai nasibnya yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan dengan menjadikan sebuah kereta - diletakkan di belakang bangunan kedai serbaneka di Taman Sungai Besi, Kuala Lumpur - sebagai tempat tinggal. Malah, beliau sentiasa bersangka baik dengan apa yang sudah berlaku.
"Kalau kita bersangka baik, Tuhan akan beri yang baik...disebabkan duduk seperti ini tidak buat masalah, tolong jaga kebersihan tempat ini dan tidak mengharapkan bantuan, hari ini dapat rumah yang selesa," kata beliau.
Sementara itu, Encik Shahidan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu proses pemindahan veteran ATM itu secepat mungkin dan beliau tidak perlu membayar sewa bulanan rumah selama setahun.
"Begitu juga dengan tambahan peralatan rumah untuk beliau (Mohd Redzuan), ini semua akan diuruskan dengan sebaiknya. Insya-Allah akan ada kawan-kawan kita yang dermawan akan membantunya," kata beliau.
Mohd Redzuan yang berkhidmat selama 17 tahun dalam ATM menyara kehidupannya dengan membaiki kenderaan di kawasan sekitar Sungai Besi.
Kereta Volvo yang menjadi 'kediamannya' selama 20 tahun itu diberikan pelanggannya.
Pada 28 Mei lalu, Encik Ismail Sabri yang diwakili Setiausaha Politiknya, Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad, melawat Mohd Redzuan dan mahu pesara itu diberikan sebuah rumah transit dalam masa terdekat dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.