Skip to main content

Dunia

20 pembeli-belah Walmart maut akibat tembakan rambang di Texas

Seorang lelaki yang bersenjatakan senapang membunuh 20 orang pada Sabtu (3 Ogos) setelah melepaskan tembakan ke arah para pembeli-belah di sebuah pasar raya Walmart yang sesak di Texas.

Anggaran Waktu Membaca:
20 pembeli-belah Walmart maut akibat tembakan rambang di Texas

Petikan daripada rakaman CCTV yang diperoleh saluran berita KTSM 9 menunjukkan lelaki bersenjata memasuki cawangan Walmart Cielo Vista di El Paso pada 3 Ogos 2019. (Gambar: KTSM 9/ KTSM 9 news Channel /AFP)

Diterbitkan : 04 Aug 2019 11:44AM Dikemas Kini : 04 Aug 2019 11:53AM

EL PASO: Seorang lelaki yang bersenjatakan senapang membunuh 20 orang pada Sabtu (3 Ogos) setelah melepaskan tembakan ke arah para pembeli-belah di sebuah pasar raya Walmart yang sesak di Texas.

Ini merupakan insiden tembakan beramai-ramai yang terbaru di Amerika Syarikat.

Sedang Presiden Donald Trump mengutuk kejadian itu sebagai "tindakan pengecut" yang disiasat oleh pihak polis sebagai jenayah berunsur kebencian, seruan semakin lantang bagi menggesa agar "wabak" keganasan bersenjata dihapuskan.

Ini merupakan insiden tembakan rambang yang kedua dalam tempoh kurang seminggu di sebuah cawangan Walmart di Amerika Syarikat dan ia menyusuli insiden tembakan beramai-ramai di California pada hujung minggu lalu.

Seorang suspek diberkas sedang pihak berkuasa meneliti manifesto pelampau yang didakwa ditulis oleh lelaki bersenjata itu.

Video yang dirakam menggunakan kamera telefon bimbit menunjukkan apa yang kelihatan seperti sebilangan mayat yang terbujur di tempat letak kereta pasar raya tersebut.

Rakaman yang lain pula menunjukkan para pembeli-belah yang ketakutan melarikan diri dari pasar raya itu, sedang bunyi tembakan kedengaran.

"Seramai 20 orang di El Paso kehilangan nyawa mereka," kata Gabenor Texas Greg Abbot semasa satu sidang media.

"Sebagai sebuah negeri kami bersatu untuk menyokong para mangsa dan ahli keluarga mereka... Kami mendoa agar Tuhan bersama mereka yang dilanda bahaya dalam apa jua bentuk dan menyembuhkan kecederaan mereka."

Ketua Polis Greg Allen mengesahkan bahawa selain 20 kematian yang disahkan, 26 yang lain cedera.

Beberapa laporan berita menyatakan usia mangsa yang sedang dirawat di hospital adalah antara dua hingga 82 tahun.

Polis menyatakan cawangan Walmart itu "penuh sesak" ketika kejadian tersebut, dengan 1,000 hingga 3,000 pelanggan di dalamnya.

Polis mengesahkan seorang lelaki berusia 21 tahun dari Allen, Texas, adalah satu-satunya suspek yang ditahan.

Media Amerika Syarikat mengenal pasti suspek itu sebagai Patrick Crusius, yang berkulit putih.

Dia menyerah diri kepada polis tidak jauh dari cawangan Walmart berkenaan.

"Manifesto" yang dipercayai dihasilkan Crusius yang tersebar online mengandungi teks yang mengecam "pencerobohan Amerika Latin" di Texas dan pengarangnya mengatakan dengan jelas bahawa dia memang sudah menjangkakan dirinya akan mati semasa melakukan serangan.

Para saksi berkata lelaki itu kelihatan melepaskan tembakan secara rambang sekitar 10.30 pagi waktu tempatan (11.30 malam waktu Singapura).

Petikan daripada rakaman CCTV menunjukkan lelaki bersenjata membawa apa yang kelihatan seperti senapang AK-47.

Presiden Donald Trump yang sedang meluangkan hujung minggu di kelab golf miliknya di New Jersey berkata, insiden tembakan itu "bukan hanya satu tragedi, ia juga satu perbuatan pengecut".

"Tiada sebab atau alasan yang boleh mewajarkan tindakan untuk membunuh orang tidak bersalah," katanya menerusi catatan di laman Twitter.

Pada Selasa (30 Jul), dua orang meninggal dunia dan seorang pegawai polis cedera di sebuah cawangan Walmart di Mississippi.

Pada Ahad lalu, seorang lelaki bersenjata berusia 19 tahun melepaskan tembakan di sebuah pesta makanan di utara California, menyebabkan tiga mangsa terbunuh, termasuk dua kanak-kanak. 

Sumber : AFP/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita