20 letupan bom gegarkan selatan Thailand
Kejadian letupan bom itu berlaku mulai 7.00 malam tadi (20 Mei) (waktu tempatan) di wilayah bergolak Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla.

Gambar fail polis Thailand. (Gambar: AFP/Pornchai Kittiwongsakul)
PATTANI: Hari keempat bulan Ramadan dicemari dengan beberapa insiden keganasan apabila kira-kira 20 butir bom yang kebanyakannya menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meletup di beberapa wilayah di selatan Thailand.
Kejadian letupan bom itu berlaku mulai 7.00 malam tadi (20 Mei) (waktu tempatan) di wilayah bergolak Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla.
"Pihak berkuasa mendapat laporan empat butir bom meletup di daerah Muang, Pattani manakala masing-masing sebutir bom meletup di Saiburi, Nongchik dan Yarang. Semua menyasarkan mesin ATM," kata Ketua Polis Pattani Mej Jen Piyawat Chalermsi hari ini.
Beliau berkata dua individu dilaporkan cedera dalam kejadian letupan di daerah Muang.
Di Narathiwat, pihak berkuasa melaporkan lima butir bom meletup di daerah Benang Setar, Kabang dan Yaha, namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Penyerang tidak dikenali juga menembak sebutir peluru grenadM79 terhadap markas Pasukan Petugas Narathiwat di Thanto kira-kira 8.00 malam tadi (waktu tempatan), tetapi tidak menyebabkan kecederaan.
Sumber keselamatan juga mengatakan serangan bom juga dilaporkan berlaku di daerah Ranget dan Cho Airong, manakala sebutir bom meletup di sebuah mesin ATM di daerah Thepa, wilayah Songkla malam tadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.