Skip to main content

Dunia

2 wartawan Reuters dibebaskan dari penjara Myanmar

Dua wartawan Reuters yang dihukum penjara di Myanmar setelah didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi dibebaskan dari sebuah penjara di luar Yangon pada Selasa (7 Mei) setelah ditahan lebih 500 hari.

Anggaran Waktu Membaca:
2 wartawan Reuters dibebaskan dari penjara Myanmar

Wartawan Reuters Kyaw Soe Oo setelah dibebaskan dari penjara di Yangon, Myanmar, 7 Mei 2019. (Gambar: Reuters/Ann Wang)

Diterbitkan : 07 May 2019 01:23PM Dikemas Kini : 07 May 2019 01:39PM

YANGON: Dua wartawan Reuters yang dihukum penjara di Myanmar setelah didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi dibebaskan dari sebuah penjara di luar Yangon pada Selasa (7 Mei) setelah ditahan lebih 500 hari, menurut para saksi.

Dua wartawan itu, Wa Lone, 33 tahun dan Kyaw Soe Oo, 29 tahun, didapati bersalah pada September dan dihukum penjara tujuh tahun dalam kes yang membangkitkan kesangsian terhadap kemajuan Myanmar dalam mencapai demokrasi dan mencetuskan kemarahan para diplomat dan aktivis hak asasi.

Presiden Win Myint memberi pengampunan kepada beribu-ribu banduan pada bulan lalu. Ini merupakan sebahagian daripada adat menjelang Tahun Baru Myanmar yang bermula pada 17 Apr tahun ini di mana pihak berkuasa membebaskan banduan di merata negara.

Reuters menyatakan, kedua-dua wartawannya tidak melakukan sebarang jenayah dan menggesa agar mereka dibebaskan.

Sebelum diberkas pada Disember 2017, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo bertugas dalam satu siasatan terhadap pembunuhan 10 lelaki dan kanak-kanak Rohingya oleh pasukan keselamatan dan penganut agama Buddha di wilayah Rakhine di barat Myanmar apabila tindakan keras dilancarkan oleh pihak tentera pada 2017.

Operasi itu memaksa lebih 730,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Laporan yang dihasilkan oleh kedua-dua lelaki itu, yang memaparkan kenyataan oleh mereka yang bertanggungjawab berhubung operasi tersebut, para saksi dan anggota keluarga mangsa, menerima Hadiah Pulitzer bagi kewartawanan antarabangsa pada Mei.

Jurucakap pemerintah Myanmar bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas lebih lanjut.

Mahkamah Tinggi Myanmar menolak rayuan terakhir kedua-dua wartawan itu pada April. Kedua-dua tertuduh mengemukakan rayuan mereka berdasarkan bahan bukti yang menunjukkan mereka diperangkap oleh polis dan terdapat kekurangan bahan bukti untuk sabit kesalahan. Ini setelah Mahkamah Tinggi Yangon menolak rayuan lebih awal pada Januari.

Isteri kedua-dua wartawan itu menulis surat kepada pemerintah pada April untuk merayu agar suami mereka diampunkan, bukan kerana mereka melakukan kesalahan, tetapi sebaliknya pengampunan bagi membenarkan mereka dibebaskan dari penjara dan dikembalikan ke pangkuan keluarga. 

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita