Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 warga SG ditemui mati di rumah inap Kuala Lumpur

Anggaran Waktu Membaca:
CHERAS: Dua rakyat Singapura ditemui mati di sebuah rumah inap di Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat (17 Mei).

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.53 tengah hari pada Jumaat.

Pihaknya dimaklumkan seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di sebuah rumah inap di Jalan Nadchatiram, Taman Taynton View, Cheras oleh pekerja di tempat penginapan itu.

Pemeriksaan polis mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada bahagian tubuh mereka.

Kedua-dua mangsa juga ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian.

Tiada sebarang unsur jenayah dikesan.

Keadaan kedua-dua mayat dikatakan sudah mulai mereput dan berbau busuk.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sisa arang yang dibakar dalam bekas pemanggang, serta dadah disyaki jenis ketamin di atas piring di bilik berkenaan.

ACP Aidil berkata pihaknya telah merakamkan keterangan dari seorang pekerja di rumah inap tersebut yang menemui mayat kedua-dua mangsa.

Wanita itu berkata beliau mendapati pintu depan rumah inap yang didiami oleh warga Singapura itu masih berkunci dan kasut kepunyaan kedua-dua individu tersebut masih ada di depan pintu rumah.

Menurut ACP Aidil, wanita itu kemudian mengetuk pintu beberapa kali dan menghubungi pengurus rumah inap itu selepas ketukannya tidak dibalas.

"Pengurus tersebut kemudian mengarahkan pekerja itu supaya membuka pintu hadapan menggunakan kunci pendua.

"Apabila beliau masuk ke dalam rumah itu, beliau mendapati penyaman udara, kipas siling dan televisyen masih dihidupkan di ruang tamu.

"Wanita itu kemudian pergi ke bilik ketiga di rumah inap berkenaan dan mendapati terdapat pelekat di sekeliling pintu manakala tingkap ditutup dengan plastik kanvas.

"Beliau mengetuk pintu bilik beberapa kali, namun tiada jawapan, dan pintu juga sukar dibuka kerana dihalang oleh pita pelekat.

"Kemudian, pekerja itu membuka tingkap bilik dan melihat kedua-dua mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri serta keadaan di dalam bilik sudah berbau busuk," katanya dan menambah pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV).

ACP Aidil berkata Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) yang berada di lokasi telah mengesahkan kematian kedua-dua individu berkenaan pada pukul 2.22 petang dan mayat dihantar ke HCTM untuk bedah siasat.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan