2 warga Kanada ditahan China dalam perjalanan pulang: Trudeau
Dua warga Kanada yang dipenjara dalam apa yang disifatkan oleh pengkritik Barat sebagai "diplomasi tebusan" China berlepas pulang pada Jumaat (24 Sep) setelah dibebaskan, umum Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau (kiri) berdiri dengan Menteri Ehwal Luar Marc Garneau di Parliament Hill di Ottawa pada 24 Sep 2021 (Gambar: Justin Tang/The Canadian Press via AP)
OTTAWA: Dua warga Kanada yang dipenjara dalam apa yang disifatkan oleh pengkritik Barat sebagai "diplomasi tebusan" China berlepas pulang pada Jumaat (24 Sep) setelah dibebaskan, umum Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Mantan diplomat Michael Kovrig dan ahli perniagaan Michael Spavor - telah "meninggalkan ruang udara China, dan mereka dalam perjalanan pulang," katanya dalam satu sidang media di Ottawa.
Pesawat mereka dijangka mendarat di Kanada pada Sabtu, katanya.
Kedua-dua lelaki itu, ditahan dan dimasukkan penjara atas dakwaan mengintip beberapa hari selepas Kanada menahan eksekutif Huawei, Meng Wanzhou.
Apa yang dilihat sebagai tangkapan saling berbalas itu mengeruhkan hubungan Kanada-China.
Awal sebelum itu, seorang hakim Kanada menamatkan prosiding ekstradisi terhadap Cik Meng dan menarik balik syarat ikat jaminnya, membenarkan wanita itu pulang ke China buat pertama kali sejak ditahan di lapangan terbang antarabangsa Vancouver atas arahan pihak berkuasa Amerika Syarikat pada 1 Disember 2018.
Keputusan hakim itu dibuat susuli perjanjian yang dibuat antara wanita itu dengan Jabatan Kehakiman AS untuk menggantung dakwaan penipuan terhadapnya.
Kedua-dua Encik Kovrig dan Encik Spavor dibicarakan pada Mac tahun ini. Pada Ogos, Encik Spavor dihukum penjara 11 tahun manakala keputusan bagi kes Encik Kovrig belum dibuat.
PM Trudeau sebelum ini mengutuk hukuman terhadap Encik Spavor sebagai "tidak boleh diterima dan tidak adil" sambil menambah bahawa dakwaan itu "dibuat-buat".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.