2 wanita dirakam conteng mural gergasi potret pemimpin M'sia
Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 pada Isnin (20 Jul).

(Gambar: Bernama)
SHAH ALAM: Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 pada Isnin (20 Jul).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, dua individu itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.
"Kami sedang mengesan mereka… Beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kejadian vandalisme ke atas mural gergasi potret beberapa pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan itu kira-kira pukul 8.00 pagi semalam.
Mural gergasi itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.
Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Encik Muhammad Suhaimi Ali, 27, Encik Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Encik Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.