2 wanita di Iran ditahan, dilempar yogurt kerana tidak pakai hijab

(Gambar: Tangkapan skrin video Kian Sharifi/Twitter)
TEHRAN: Dua wanita diberkas di Iran kerana tidak menutup rambut mereka di khalayak awam setelah yogurt dilemparkan ke arah mereka.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan dua pelanggan wanita dihampiri oleh seorang lelaki yang mula berbual dengan mereka, lapor The Guardian.
Lelaki itu kemudian mengambil apa yang kelihatan seperti yogurt dari sebuah rak dan melemparkannya ke atas kepala mereka.
Badan kehakiman Iran menyatakan kedua-dua wanita itu ditahan kerana dipercayai melanggar peraturan hijab negara tersebut, menurut laporan The Guardian.
Ia menambah bahawa lelaki berkenaan turut ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam.
Penahanan dua wanita itu berlaku ketika ketua badan kehakiman Iran mengancam untuk mendakwa "tanpa belas kasihan" wanita yang tidak berhijab apabila berada di tempat awam, lapor media Iran pada Sabtu (1 Apr).
Amaran Gholamhussein Mohseni Ejei dibuat menyusuli kenyataan Kementerian Dalam Negeri Iran pada Khamis (30 Mac) yang menegaskan undang-undang hijab mandatori pemerintah.
Encik Ejei berkata pegawai-pegawai penguatkuasaan undang-undang "dikehendaki untuk merujuk sebarang jenayah terang-terangan dan mana-mana tingkah laku yang menentang syariah dan berlaku di tempat awam, kepada pihak berkuasa kehakiman".
Semakin ramai wanita di Iran menanggalkan hijab mereka sejak kematian wanita Kurdi, Mahsa Amini, 22 tahun, di bawah tahanan polis tatatertib pada September lalu. Beliau ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang hijab itu.
Menyifatkan hijab sebagai "salah satu asas tamadun negara Iran" dan "antara prinsip munasabah Republik Islam itu", Kementerian Dalam Negeri menyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis bahawa pihaknya tidak akan "bertolak ansur" berhubung isu tersebut.
Ia menggesa masyarakat awam untuk bersemuka dengan wanita yang tidak memakai hijab, lapor The Guardian. Arahan sedemikan mendorong golongan pelampau untuk menyerang wanita tanpa dikenakan sebarang hukuman sepanjang beberapa dekad lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.