Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 siswa kerugian hampir RM28,000 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

Dua pelajar universiti kerugian RM27,545 (S$8,807) selepas mereka ditipu sindiket menawarkan pekerjaan secara sambilan dengan gaji yang tinggi di sebuah platform e-dagang terkenal ,dalam kejadian berasingan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
2 siswa kerugian hampir RM28,000 ditipu sindiket tawar kerja sambilan
Diterbitkan : 15 Aug 2021 04:07PM Dikemas Kini : 15 Aug 2021 04:12PM

KEPALA BATAS: Dua pelajar universiti kerugian RM27,545 (S$8,807) selepas mereka ditipu sindiket menawarkan pekerjaan secara sambilan dengan gaji yang tinggi di sebuah platform e-dagang terkenal ,dalam kejadian berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa lelaki berusia 21 tahun kerugian RM21,450 (S$6,858) manakala seorang lagi iaitu wanita berumur 23 tahun itu rugi sebanyak RM6,095 (S$1,948) selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket tersebut sejak dua bulan lepas.

"Berdasarkan siasatan awal, mereka dikatakan mula terjerat dalam penipuan sindiket itu selepas melihat iklan yang ditawarkan di laman sosial Facebook baru-baru ini sebelum masing-masing menekan satu pautan di Facebook.

"Seterusnya nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan menerusi kumpulan WhatsApp itu, mangsa diberi taklimat untuk bekerja sebagai ejen pembelian dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini (15 Ogos).

Mereka kemudianya diminta untuk melakukan tugas pembelian barangan yang ditetapkan oleh pengendali kumpulan WhatsApp dengan pembayaran bagi setiap pembelian akan dibayar terus ke akaun bank sindiket.

Noorzainy berkata pembayaran barang dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian, namun bertujuan menaikkan rating barangan tersebut dalam platform berkenaan.

Katanya, kedua-dua pelajar itu dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan bayaran keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.

“Pada peringkat awal, mereka menerima wang keuntungan seperti dijanjikan sehingga mendorong untuk membuat lebih banyak pembayaran membeli barangan secara berperingkat sehingga masing-masing berjumlah RM6,095 dan RM21,450," katanya.

Beliau berkata dua pelajar itu bagaimanapun menyedari ditipu selepas tidak menerima wang keuntungan yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis berhubung perkara tersebut semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Beliau turut menasihati orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket.

“Sejak Julai hingga semalam,sebanyak lima kes membabitkan tawaran kerja sambilan di platform e-dagang membabitkan penuntut universiti direkodkan dengan jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM59,328 (S$18,969) di daerah SPU,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan