2 sekolah di Sarawak terpaksa ditutup ekoran paras jerebu 'berbahaya'
Lebih 1,900 pelajar termasuk 50 murid prasekolah dari dua sekolah rendah tidak dapat meneruskan sesi persekolahan hari ini (22 Ogos) kerana sekolah terpaksa ditutup berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk di kawasan Kuala Baram.
Keadaan jerebu di Sarawak semakin teruk hingga 2 sekolah terpaksa ditutup pada 22 Ogos 2019. (Gambar: BERNAMA)
MIRI: Lebih 1,900 pelajar termasuk 50 murid prasekolah dari dua sekolah rendah tidak dapat meneruskan sesi persekolahan hari ini (22 Ogos) kerana sekolah terpaksa ditutup berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk di kawasan Kuala Baram.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin, dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata dua sekolah yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Tudan.
"Sesi persekolahan terpaksa dihentikan kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin teruk iaitu melebihi 232 dengan sekolah paling teruk (terjejas), SJK Chung Hua Tudan, yang terletak berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri," kata Mejar Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis.
Mejar Ismail menambah terdapat 50 murid prasekolah, 556 pelajar serta 45 guru di SK Kuala Baram 2 manakala SJK Chung Hua Tudan pula mempunyai seramai 1,300 pelajar dan 64 orang guru.
"Kawasan persekolahan dilanda jerebu teruk akibat kebakaran hutan dan tanah gambut semakin teruk," jelas Mejar Ismail.
Menurut data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di ILP Miri pagi tadi berada pada tahap berbahaya iaitu 404 manakala IPU di SK Kuala Baram 2 mencatatkan bacaan IPU 204 iaitu sangat tidak sihat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.