2 sahabat kayuh basikal lipat sejauh 850km dari Johor ke Perlis
Dua sahabat memanfaatkan kebenaran merentas negeri dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini untuk melakukan pengembaraan dengan menaiki basikal lipat dari Johor ke Perlis dalam tempoh 14 hari dengan hanya berbekalkan RM500 (S$162.87).
(Gambar: BERNAMA)
KANGAR: Dua sahabat memanfaatkan kebenaran merentas negeri dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini untuk melakukan pengembaraan dengan menaiki basikal lipat dari Johor ke Perlis dalam tempoh 14 hari dengan hanya berbekalkan RM500 (S$162.87).
Kedua-dua individu itu, Muhammad Hezri Muhammad Sabri, 36 tahun yang bertugas sebagai pekerja penghantaran makanan Foodpanda dan Mohd Jazaini Abdul Jamal, 48 tahun yang bekerja sendiri berkata bahawa pengembaraan jarak jauh lazimnya menggunakan basikal lebih besar.
Namun, mereka memilih untuk menggunakan basikal lipat yang berukuran lebih semeter sahaja.
"Kebanyakan orang yang kami jumpa sepanjang kembara ini bertanyakan mampukah basikal lipat ini bergerak jauh dan ramai yang tidak menyangka basikal kecil ini tahan lasak serta boleh pergi jauh.
"Basikal lipat lebih sinonim dengan basikal kayuhan taman dan santai-santai. Seorang lelaki ‘gila’ memunggah basikal lipat kelihatan jauh lebih ‘gila’ daripada lelaki ‘gila’ yang menunggang basikal,” kata Muhammad Hezri kepada Bernama ketika ditemui selepas menamatkan kayuhan mereka pada Jumaat (5 Nov).
Beliau berkata kejayaan mereka merentas negeri-negeri di Semenanjung dari Tanjung Piai, Johor ke Kangar, Perlis sejauh kira-kira 850 kilometer membuktikan bahawa basikal lipat juga sesuai digunakan untuk kembara jarak jauh.
Muhammad Hezri dan Mohd Jazaini masing-masing berasal dari Kuala Lumpur dan Shah Alam berkata sepanjang kayuhan itu mereka juga berkesempatan mengenali budaya masyarakat setempat dan berkenalan dengan ramai peminat aktiviti berbasikal.
Mohd Jazaini pula berkata mereka dapat berkongsi ilmu dan maklumat berguna mengenai basikal lipat selain melakukan penerokaan ke pelbagai lokasi menarik di setiap negeri yang mereka singgah.
Menurutnya, walaupun ia kecil, basikal lipat seberat 11 kilogram itu mampu menampung beban tambahan untuk kegunaan mereka sepanjang pengembaraan itu seperti khemah, dapur, kerusi serta keperluan asas lain.
Berkongsi pengalaman menarik sepanjang pengembaraan itu, kedua-duanya mengakui berasa teruja apabila menerima sedekah pelbagai makanan dan minuman daripada orang yang tidak dikenali.
"Barangkali itu semua rezeki kami bermusafir, dapatlah kami jimatkan peruntukan kami yang terhad dan duit yang kami bawa bekal itu, kami hanya gunakan untuk beli makanan istimewa yang sedap sahaja sebagai ganjaran kerana dapat menamatkan misi kami dengan selamat, alhamdulillah," katanya.
Mengenai cabaran sepanjang kayuhan pula, mereka berkata tidak banyak kesulitan yang dihadapi kerana pelbagai kelengkapan mencukupi sudah disediakan jika basikal lipat yang dinaiki mengalami masalah di tengah jalan.
"Kelebihan basikal ini, jika tidak boleh dibaiki menggunakan alat ganti yang dibawa, senang nak bawa ke bengkel sebab boleh dilipat kecil dan muat saja kalau menaiki kereta 'Grab' atau tumpang sesiapa," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.