Skip to main content

Dunia

2 remaja didakwa bunuh penuntut universiti di Cyberjaya

Dua individu - kedua-duanya berusia 19 tahun - didakwa pada Khamis (10 Jul) atas tuduhan membunuh dan bersubahat oleh sebuah mahkamah di Malaysia berhubung kematian seorang penuntut universiti berusia 20 tahun di Cyberjaya pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
2 remaja didakwa bunuh penuntut universiti di Cyberjaya

Maniishapriet Kaur Akhara (kiri) dan kondominium Mutiara Ville di Sepang, Selangor. (Gambar: Facebook/Amazing Sarawak, Google Maps/Bradley M)

SEPANG: Dua individu - kedua-duanya berusia 19 tahun - didakwa pada Khamis (10 Jul) atas tuduhan membunuh dan bersubahat oleh sebuah mahkamah di Malaysia berhubung kematian seorang penuntut universiti berusia 20 tahun di Cyberjaya pada bulan lalu.

Maniishapriet Kaur Akhara, seorang pelajar bidang fisioterapi di Universiti Cyberjaya, ditemui mati di unit kondominiumnya di daerah Sepang, Selangor pada pagi 24 Jun, dengan kesan kecederaan pada badannya, lapor media tempatan.

Di Mahkamah Majistret Sepang pada Khamis, M Sri Darvien didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Menurut kertas tuduhan, Darvien dituduh membunuh Maniishapriet antara pukul 9.11 malam dengan 11.31 malam pada 23 Jun lalu di Blok A, Mutiara Ville, lapor Free Malaysia Today.

Mutiara Ville adalah sebuah unit kediaman bersama yang disediakan oleh pihak universiti, terletak kira-kira 1.5 kilometer dari bangunan utama.

Teman wanita Darvien, D Thineswary, yang juga merupakan seorang pelajar di universiti tersebut, didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302, yang membawa hukuman sama, menurut laporan media tempatan.

Pasangan tersebut menganggukkan kepala selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Kedua-duanya tiba di mahkamah di bawah kawalan ketat pihak polis.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah menetapkan 11 September untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan analisis kimia, lapor media tempatan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita