Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 remaja cedera jambatan gantung 'stesen Internet' terputus di Sabah

Jika sebelum ini tular klip video pelajar di Pitas, Sabah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan akses Internet, pada Isnin lalu (23 Nov), seorang pelajar mengalami kecederaan selepas jambatan gantung yang dinaikinya bersama seorang lagi teman terputus.

Anggaran Waktu Membaca:
2 remaja cedera jambatan gantung 'stesen Internet' terputus di Sabah

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 09:23PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 09:25PM

KOTA KINABALU: Jika sebelum ini tular klip video pelajar di Pitas, Sabah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan akses Internet, pada Isnin lalu (23 Nov), seorang pelajar mengalami kecederaan selepas jambatan gantung setinggi 18 meter yang dinaikinya bersama seorang lagi teman, terputus ketika mereka sedang mengikuti pembelajaran dalam talian.

Kejadian di Kampung Gusi, kira-kira 80 kilometer dari pekan Ranau itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Dr Joachim Gunsalam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang ketika dihubungi Bernama pada Jumaat (27 Nov).

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 9.00 malam ketika sekumpulan lapan remaja termasuk tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut berkumpul di atas jambatan berusia 10 tahun berkenaan bagi mengakses Internet.

Dua daripada mereka termasuk pelajar cedera pada bahagian kaki dan tulang belakang selepas terjatuh dari jambatan itu, katanya. 

“Jambatan gantung ini sering digunakan sebagai stesen untuk mencari talian Internet dan para pelajar terbabit berkumpul di jambatan berkenaan berkemungkinan menjadi antara punca pengikat jambatan terputus. Jambatan gantung ini dibina 10 tahun lalu, sudah usang walaupun pernah dibaiki sebelum ini,” katanya.

Encik Joachim berkata pelajar yang patah kaki itu telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian tersebut menunjukkan betapa pentingnya infrastruktur telekomunikasi, khususnya di kawasan luar bandar Sabah perlu dipertingkat pada kadar segera.

Mengambil contoh Ranau khususnya Dewan Undangan Negeri Kundasang, Encik Joachim berkata capaian Internet di daerah itu amat lemah.

Mengenai jambatan gantung yang roboh itu, Encik Joachim memberi jaminan sebuah jambatan gantung baru akan dibina bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.

Jambatan itu yang dibina menggunakan kabel besi dan papan, menghubungkan penduduk Kampung Gusi dengan kebun mereka serta kawasan perumahan lain dan mereka kini terpaksa menggunakan sampan kecil sebagai pengangkutan ke kawasan tersebut, katanya.

“Saya berharap penduduk dapat bersabar sedikit dan kita akan cuba sedaya upaya untuk menggantikan jambatan gantung yang terputus ini,” katanya, menambah pihaknya akan membuat tinjauan ke kawasan berkenaan minggu depan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan