Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 rakyat M'sia diberkas, diupah RM5,400 bawa 18 pendatang haram ke Johor

Dua lelaki rakyat Malaysia mengaku menerima upah sebanyak RM5,400 (S$1,741) bagi membawa 18 orang pendatang tanpa izin warga Myanmar dari sempadan Thailand sehingga ke Johor Bharu, dengan kadar RM300 (S$96) bagi setiap seorang.

Anggaran Waktu Membaca:
2 rakyat M'sia diberkas, diupah RM5,400 bawa 18 pendatang haram ke Johor

(Gambar hiasan: Lee/Canva)

Diterbitkan : 15 Jan 2022 02:38PM Dikemas Kini : 15 Jan 2022 02:38PM

PASIR MAS: Dua lelaki rakyat Malaysia mengaku menerima upah sebanyak RM5,400 (S$1,741) bagi membawa 18 orang pendatang tanpa izin warga Myanmar dari sempadan Thailand sehingga ke Johor Bharu, dengan kadar RM300 (S$96) bagi setiap seorang.

Pengakuan itu dibuat hasil soal siasat awal selepas kedua-dua kenderaan dipandu mereka ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di hadapan sebuah sekolah pada pukul 1.00 petang semalam (14 Jan).

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata dua lelaki tempatan berusia 27 dan 34 tahun itu, disyaki sebahagian daripada anggota sindiket penyeludupan penduduk hijrahan.

Beliau berkata ketika ditahan, sebuah kenderaan menampung seramai lapan individu manakala sebuah lagi kenderaan menampung 10 orang, dengan kesemuanya melibatkan 12 lelaki dan enam perempuan berusia antara 20 hingga 30-an tahun.

“Hasil pemeriksaan dokumen yang dijalankan ke atas kesemua penumpang dua kenderaan jenis Hyundai Starex itu mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah termasuk dokumen pengenalan dan permit perjalanan.

“Hasil siasatan juga mendapati dua lelaki warga tempatan yang berasal dari Johor itu, bertindak sebagai ejen untuk menghantar pendatang tanpa izin warga Myanmar itu dari sempadan Malaysia-Thailand, dengan upah sebanyak RM300 setiap seorang yang dibawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, kesemua pendatang itu juga akan dihantar ke negeri selatan termasuk Johor dengan dijanjikan peluang pekerjaan.

Encik Azhari berkata dalam kes ini pihaknya merampas dua kenderaan dan tiga telefon bimbit yang bernilai RM165,000 (S$53,220) dan kesemua penangkapan dan rampasan diserahkan kepada Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber : Bernama/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa