Skip to main content

Dunia

2 perenang di Australia Barat cedera diserang jerung

Anggaran Waktu Membaca:
2 perenang di Australia Barat cedera diserang jerung

Pantai Yallingup. (Gambar: Sumber web)

Diterbitkan : 30 Apr 2023 09:09PM

SYDNEY: Australia Barat (WA) melaporkan dua insiden serangan ikan jerung pada hujung minggu lalu, mencederakan dua perenang lelaki. 

Pada petang Ahad (30 Apr), Jabatan Industri Utama dan Pembangunan Daerah WA mengeluarkan amaran kepada para penduduk Yallingup di bandar Busselton setelah insiden melibatkan ikan jerung dilaporkan oleh seorang anggota masyarakat pada sekitar pukul 11.20 pagi waktu tempatan, lapor Xinhua. 

Jabatan itu turut menarik perhatian bahawa seorang perenang lelaki cedera ringan setelah diserang seekor ikan jerung sepanjang satu meter sekitar pukul 11.00 pagi Sabtu (29 Apr). 

Insiden itu berlaku ketika perenang itu berada di kawasan cetek sekitar 15 meter dari pantai. 

Pada Sabtu juga, satu lagi insiden melibatkan serangan ikan jerung dilaporkan sekitar pukul 3.00 petang waktu tempatan. 

Berita itu menggemparkan seluruh Australia apabila seorang budak lelaki berusia 11 tahun dikejarkan ke hospital menyusuli insiden tersebut. 

Budak lelaki itu menemui spesies jerung yang tidak diketahui semasa bersnorkel di perairan sekitar Tapak Perkhemahan Kurrajong di Taman Negara Cape Range di Shire of Exmouth.

"Jurucakap Hospital Kanak-Kanak Perth berkata budak lelaki itu masih dirawat pada pagi Ahad, tetapi dalam keadaan stabil," lapor media tempatan Perth Now.

Menurut laporan tersebut, kanak-kanak berusia 11 tahun itu dirawat di tempat kejadian setelah mengalami luka yang dalam pada beberapa bahagian badannya, namun kecederaannya itu dipercayai tidak mengancam nyawa. 

Serangan itu berlaku setelah seorang pemain luncur profesional Australia, Max Marsden, terselamat daripada serangan ikan jerung di Pantai Lucys di Greenough, selatan Greater Geraldton.

Semasa meluncur air bersama rakannya pada awal pagi 23 April, Marsden ternampak seekor ikan jerung sepanjang 1.5 meter, membaham lengan kanannya ke papan luncur tersebut.

Dia menumbuk ikan jerung itu beberapa kali sebelum berjaya melepaskan dirinya daripada serangan jerung tersebut.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita