Skip to main content

Dunia

2 penuntut asing di SG didakwa lakukan penculikan palsu bagi tuntut wang tebusan AS$700,000 di Malaysia

Dua belia warga asing yang menuntut di Singapura telah didakwa di Malaysia kerana cuba menipu ibu salah seorang daripada mereka, untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak AS$700,000 (S$907,774) melalui penculikan palsu.

Anggaran Waktu Membaca:
2 penuntut asing di SG didakwa lakukan penculikan palsu bagi tuntut wang tebusan AS$700,000 di Malaysia

Zhang Runbao, 23 tahun dan Ye Yingxi, 18 tahun meminta dibicarakan selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 13 Mei 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 14 May 2025 09:28PM Dikemas Kini : 14 May 2025 09:30PM
SINGAPURA: Dua belia warga asing yang menuntut di Singapura telah didakwa di Malaysia kerana cuba menipu ibu salah seorang daripada mereka, untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak AS$700,000 (S$907,774) melalui penculikan palsu.

Zhang Runbao, 23 tahun dan Ye Yingxi, 18 tahun, meminta dibicarakan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan. Mereka dituduh cuba menipu ibu Ye, untuk membayar wang tebusan sebanyak 5 juta yuan (S$899,727.50) pada 2 Mei, menurut berita tempatan Free Malaysia Today (FMT).

FMT melaporkan kedua-dua individu merupakan warga China dan mahasiswa NUS.

Namun, beberapa laporan media lain menyatakan Ye adalah pelajar di Institut Pengurusan Singapura (SIM).

Mediacorp sudah pun menghubungi SIM dan NUS untuk mendapatkan komen mereka.

Peguam Ye, Ramesh Sivakumar memberitahu Mediacorp pada Rabu bahawa anak guamnya tidak mengenali Zhang sebelum ini.

Kejadian itu berlaku di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, tetapi tidak jelas mengapa kedua-dua pelajar itu berada di Malaysia.

Menurut laporan FMT, kedua-dua pelajar itu didakwa menghantar rakaman video dan membuat panggilan kepada ibu Ye, Cik Cheng Zhiwen, 40 tahun, untuk menunjukkan kononnya Ye telah diculik. Ye dipaparkan dalam keadaan separuh bogel, mulutnya disumbat dan dia dicekik dalam usaha untuk menuntut wang tebusan.

Mereka juga meminta dibicarakan bagi satu tuduhan alternatif iaitu menghubungi Cik Cheng melalui satu lagi panggilan video, di mana mereka memaparkan Ye dalam keadaan serupa, dalam usaha menakut-nakutkan dan menuntut wang tebusan dari Cik Cheng, menurut media tempatan The New Straits Times.

Sesetengah laporan media menyatakan selepas menerima rakaman video itu, Cik Cheng berlepas ke Singapura dan kemudian ke Malaysia di mana beliau membuat laporan polis.

Jika sabit kesalahan, Zhang dan Ye boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun dan dikenakan denda.

Mereka juga berdepan tuduhan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Azul Darus pada Selasa (13 Mei) membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 (S$9,125) dengan dua penjamin.

Mereka juga diperintah supaya menyerahkan pasport mereka.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita