2 penunggang motosikal tembak maut guru wanita di kepala
Seorang guru wanita yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat terawih maut ditembak di Kg Sanor, Yarang, dekat Pattani di Thailand pada Jumaat (31 Mei).

Gambar fail. (Gambar: Brendan Smialowski/AFP)
PATTANI: Seorang guru wanita yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat terawih maut ditembak di Kg Sanor, Yarang, dekat Pattani di Thailand pada Jumaat (31 Mei).
Dalam kejadian pada 8.55 malam (waktu tempatan), mangsa iaitu Asma Abdul Halim berusia 42 tahun - seorang guru tadika di Kg Sadawa membonceng motosikal yang ditunggangi suaminya, seorang pegawai Rela di Daerah Yarang, Pattani.
Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Yarang Kapt. Pol. Kajornsak Kueamanee berkata dua individu yang menaiki motosikal lain melepaskan tembakan ke kepala mangsa.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” kata Kapt. Pol. Kajornsak.
Ini merupakan kes kedua wanita maut ditembak individu yang tidak dikenali dalam minggu ini.
Khamis lalu, seorang wanita yang sedang membuat persiapan untuk menjual juadah berbuka puasa maut ditembak seorang individu di depan gerainya di Kampung Ringae, Chanet, Narathiwat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.