Skip to main content

Dunia

2 pelakon Iran didakwa, tidak berhijab di tempat awam

Anggaran Waktu Membaca:
2 pelakon Iran didakwa, tidak berhijab di tempat awam

Kaum wanita berjalan-jalan di Tehran pada 19 April 2023. (Gambar: Atta Kenare/AFP)

TEHRAN: Dua pelakon wanita ternama Iran didakwa kerana tidak mengenakan tudung sekali gus melanggar kod pakaian negara untuk kaum wanita di negara itu. 

Demikian menurut laporan agensi berita Al Jazeera.

Media pemerintah Iran melaporkan, polis Tehran mengheret Katayoun Riahi dan Pantea Bahram ke pengadilan kerana didakwa melakukan "kesalahan menanggalkan tudung di tempat awam dan memuat naik gambar mereka online".

Jika sabit kesalahan, kedua-dua pelakon wanita terkenal itu boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.

Minggu lalu, gambar Bahram, 53 tahun, yang tidak mengenakan tudung ketika menghadiri acara tayangan perdana sebuah filem tular di media sosial.

Sementara, pelakon veteran Riahi, 61 tahun, pula pernah ditahan pihak berkuasa pada November lalu kerana disyaki terlibat "mengancam keselamatan negara dan mencetus propaganda menentang pemerintahan" selepas menjadi individu pertama dalam kalangan selebriti yang memuat naik gambar tanpa berhijab sebagai tanda sokongan kepada tunjuk perasaan yang diadakan sekitar September tahun lalu.

Tunjuk perasaan yang berlangsung selama beberapa bulan itu bermula selepas kematian Mahsa Amini, seorang wanita berusia 22 tahun, yang meninggal dunia selepas ditahan oleh polis kerana didakwa tidak mematuhi undang-undang hijab negara yang dilaksanakan tidak lama selepas Revolusi Islam pada 1979.

Sejak tunjuk perasaan itu dibuat, semakin ramai wanita di seluruh Iran meninggalkan tudung yang diwajibkan ke atas mereka, bahkan, sejumlah besar wanita tempatan yang tidak menutup aurat dapat dilihat di kawasan-kawasan umum di Tehran dan tempat-tempat lain, lapor Al Jazeera.

Ketua Polis Ahmadreza Radan yang dilantik oleh pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei pada Januari lalu mengumumkan, pihak berkuasa "serius" menangani mana-mana rakyat yang melanggar peraturan hijab yang juga ideologi utama pemerintah Iran.

Sejak pengumuman itu dibuat, sejumlah besar kaum wanita memuat naik gambar mereka tanpa tudung di pelbagai platform media sosial selain tidak mengenakan pakaian longgar seperti yang ditetapkan oleh undang-undang negara itu.

Awal bulan ini, polis Iran berkata, mereka akan mula menggunakan teknologi bijak di tempat awam untuk membanteras wanita yang melanggar kod pakaian wajib negara itu, menurut Al Jazeera.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita