2 Pelajar M'sia kongsi pengalaman alami vorteks kutub AS hingga -40 darjah Selsius
Tangan membeku dan sakit. Itu merupakan pengalaman seorang pelajar Malaysia di Universiti Iowa State, Amerika Syarikat yang berdepan suhu bawah sifar ketika negara itu dilanda cuaca dingin melampau akibat vorteks kutub atau 'polar vortex'.
Sekurang-kurangnya 12 orang maut di beberapa negeri di Amerika Syarikat akibat cuaca sejuk melampau yang melanda negara itu. (Gambar: AFP)
KUALA LUMPUR: Tangan membeku dan sakit. Itu merupakan pengalaman seorang pelajar Malaysia di Universiti Iowa State, Amerika Syarikat yang berdepan suhu bawah sifar ketika negara itu dilanda cuaca dingin melampau akibat vorteks kutub atau 'polar vortex'.
Wan Abdul Rahman Wan Azhar, 21 tahun, pelajar Ijazah Pengurusan Rantaian Bekalan mengongsi pengalamannya berdepan dengan keadaan sejuk melampau itu ketika keluar dari rumah sewanya ke perhentian bas untuk ke universiti pada Rabu lalu (30 Jan).
Penuntut tahun pertama dari Bukit Jelutong, Selangor itu berkata suhu ketika itu mencecah sekitar -40 darjah Selsius.
"Saya tak pakai sarung tangan lagi, walaupun ada di dalam poket baju sejuk kerana bergegas takut tertinggal bas. Tidak sampai lima minit, tangan dah rasa macam beku dan sakit," katanya ketika dihubungi agensi berita Bernama hari ini (3 Feb). Bagaimanapun, beliau menjelaskan sakitnya itu tidak berlarutan.
Encik Wan Abdul Rahman berkata pada hari itu, pihak pengurusan Universiti Iowa State sudah mengumumkan semua kelas pengajian dibatalkan ekoran cuaca ekstrim, namun katanya, beliau masih perlu ke universiti berkenaan kerana membuat kerja sambilan di dewan makan.
TERPAKSA PAKAI 4 LAPISAN PAKAIAN
Sekurang-kurangnya 12 orang maut di beberapa negeri di Amerika Syarikat termasuk di Chicago, Michigan, Iowa, Indiana dan Illinois akibat cuaca sejuk melampau yang melanda negara itu.
(Gambar: Lindsay DeDario/Reuters)
Seorang lagi penuntut di univerisiti itu, Muhamad Imran Maszeri, 21 tahun, berkata beliau terpaksa memakai empat lapisan pakaian bagi memanaskan badan untuk keluar ke universiti dan mendapatkan barang keperluan harian.
Penuntut Ijazah Kejuruteraan Perisian itu berkata pihak polis menasihatkan penduduk supaya mengelak berada di luar rumah jika tiada urusan penting kerana cuaca berkenaan boleh mengakibatkan luka buka atau 'frostbite'.
"Apabila tidur terpaksa pakai beg tidur dengan comforter untuk tutup satu badan, alat pemanas pula dinaikkan hingga 30 darjah celsius daripada 20 darjah celsius kebiasaannya," kata penuntut dari Bandar Kinrara, Puchong itu sambil menambah suhu pada hari ini (2 Feb waktu tempatan) adalah enam darjah Selsius.
Bagaimanapun, Encik Muhamad Imran berkata beliau dan lima rakan serumahnya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ekoran keadaan cuaca tersebut.
BANJIR MUNGKIN BERLAKU SUSULI PERUBAHAN SUHU
(Gambar: Scott Olson/AFP)
Dalam pada itu, Atasé Pendidikan Education Malaysia Chicago, Siti Maisarah Roslan, berkata pihak berkuasa Chicago sudahpun memberikan amaran awal berhubung kejadian vorteks kutub bagi membolehkan para penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.
"Bagi yang bekerja, kami bekerja dari rumah atas dasar keselamatan," katanya yang menetap di North Chicago sejak tiga tahun lalu.
Cik Siti Maisarah berkata walaupun vorteks kutub yang menyebabkan suhu -56 darjah Selsius di Chicago pada Rabu (30 Jan) sudah berlalu, namun pihak berkuasa Amerika Syarikat memberikan amaran berhubung perubahan suhu melampau yang bakal berlaku.
Menurut beliau, cuaca sejuk dijangka diikuti dengan perubahan suhu panas yang mungkin mencetuskan ancaman banjir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.