Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 pegawai MAQIS direman 5 hari; disyaki terlibat dalam kes kartel daging

Dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor yang ditahan Rabu malam (6 Jan) bagi membantu siasatan kes kartel daging sejuk beku direman selama lima hari bermula hari ini (7 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
2 pegawai MAQIS direman 5 hari; disyaki terlibat dalam kes kartel daging

(Gambar: Facebook/MAQIS)

Diterbitkan : 07 Jan 2021 12:41PM Dikemas Kini : 07 Jan 2021 12:49PM

JOHOR BAHRU: Dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor yang ditahan Rabu malam (6 Jan) bagi membantu siasatan kes kartel daging sejuk beku direman selama lima hari bermula hari ini (7 Jan).

Perintah reman sehingga Isnin itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari selepas membenarkan permohonan reman dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tempoh reman berkenaan akan membolehkan kedua-dua suspek berusia 27 dan 31 tahun disiasat lanjut di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua mereka yang ditugaskan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri kira-kira 11.00 malam tadi selepas disyaki menerima rasuah bagi aktiviti penyeludupan berkenaan.

Pada 2 Disember lalu, MAQIS membongkar kegiatan kartel itu yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Dalam perkembangan lain, empat individu lain terdiri daripada tiga pengarah syarikat dan seorang kerani yang turut direman selama empat hari bersabit skandal sama sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 (S$3,287) setiap seorang selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.

Kesemua suspek berusia antara 39 hingga 50 tahun sebelum ini dikenakan perintah reman selama empat hari bermula Isnin oleh Mahkamah Majistret. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan