2 maut, taman negara hampir musnah akibat kebakaran di Kangaroo Island
Dua individu maut dan sebuah taman negara hampir-hampir musnah di daya tarikan pelancong terkenal Kangaroo Island, menurut pihak berkuasa hari ini.
(Gambar: AFP)
SYDNEY: Dua individu maut dan sebuah taman negara hampir-hampir musnah di daya tarikan pelancong terkenal Kangaroo Island, menurut pihak berkuasa hari ini.
Cuaca buruk memarakkan lagi kebakaran yang terus merebak sehingga memusnahkan Taman Negara Flinders Chase di pulau itu dan mengancam kawasan yang ramai penduduk di pulau tersebut.
Menurut polis, dua orang terbunuh apabila kenderaan mereka dijilat api berhampiran bandar Parndana dan identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Kebakaran bermula di Kangaroo Island yang terletak di barat daya Adelaide pada 20 Disember lalu dan sehingga kini sudah memusnahkan kawasan seluas lebih 1,000 kilometer persegi.
“Ia menjejas sebahagian besar kawasan Taman Negara Flinders-Chase, termasuk infrastruktur bangunan.
“Kebakaran ini pasti akan meningkatkan jumlah kematian hidupan liar,” menurut pemimpin Australia Selatan, Encik Steven Marshall.
Taman negara tersebut menjadi habitat kepada kangaru, koala dan sejenis haiwan tempatan yang dikenali sebagai echidna.
Amaran mengenai kebakaran hutan turut dikeluarkan di lebih separuh daripada kawasan pulau itu, menyebabkan empat kapal pesiaran turut membatalkan rancangan untuk berlabuh di pulau tersebut.
Api marak dengan begitu pantas sehingga menyebabkan pesawat pemadam kebakaran terpaksa meninggalkan kawasan yang terbakar.
Suhu bagaimanapun jatuh dengan mendadak hari ini dan angin panas yang memburukkan lagi keadaan dijangka bertiup ke arah utara dan timur negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.