2 maut ditembak polis di Johor
Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke Felda Sayong di Kulai, awal Jumaat (21 Sep).
KULAI: Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke Felda Sayong di Kulai, awal Jumaat (21 Sep).
Timbalan Ketua Polis Johor Kamarudin Md Din berkata dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, pihak polis yang sedang membuat rondaan di Taman Manis dekat sini mengesan sebuah kereta yang mencurigakan.
Bercakap kepada para wartawan di lokasi kejadian, beliau berkata arahan pihak polis agar suspek memberhentikan kenderaan mereka tidak diendahkan, sebaliknya mereka bertindak merempuh kereta polis dan melarikan diri sebelum dikejar oleh polis sejauh dua kilometer, katanya.
“Kereta yang dinaiki penjenayah itu kemudiannya terbabas dan beberapa das tembakan telah dilepaskan dari kenderaan tersebut.
“Dalam usaha pihak polis mempertahankan diri, kita telah melepaskan beberapa das tembakan,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek warga asing yang berusia 30-an tahun itu maut di tempat kejadian dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemui sepucuk pistol, sebilah parang, topeng muka dan sarung tangan.
“Kita percaya suspek-suspek ini adalah mereka yang terlibat dengan kes-kes samun di sekitar Johor terutamanya di kawasan Johor Bahru, Pontian, Kulai dan kawasan sekitar,” katanya.
Menurutnya kumpulan yang dianggotai suspek dipercayai terlibat dalam kira-kira 15 kes samun dengan yang terakhir di Pontian, semalam (20 Sep).
Polis kini memburu saki-baki anggota kumpulan itu yang dipercayai aktif menyamun sejak enam bulan lalu, katanya sambil menambah bahawa kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Encik Mohd Kamarudin berkata setakat pada tahun ini, pihaknya menerima aduan kira-kira 50 kes samun melibatkan warga asing di negeri berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.